Kuala Lumpur, 17 Oktober 2023, 15:28 – SEORANG rakyat Malaysia maut dalam tahanan imigresen Myanmar selepas berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdangan manusia di negara tersebut. Muhammad Izzat Abdul Wahab, 28, yang sudah beristeri dan mempunyai dua anak disahkan meninggal dunia pada 14 Oktober lalu di Pusat Imigresen Tachileik di Myanmar.

Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) menggesa siasatan punca kematian rakyat Malaysia, Muhammad Izzat Abdul Wahab yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia ketika dalam tahanan imigresen Myanmar. Setiausaha Agong MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, berkata pihaknya meminta ahli keluarga membuat laporan polis, Kedutaan Malaysia di Myanmar dan Kementerian Luar bagi menggesa siasatan telus untuk mengetahui punca sebenar. Beliau berkata, Rabu lalu mangsa ada menghubunginya bagi mendapatkan bantuan dan pihaknya meminta wakil badan bukan kerajaan (NGO) di Thailand untuk menyelamatkan mangsa ketika ditahan.

Mangsa dipercayai berjaya diselamatkan oleh Azizul Syafik, wakil pertubuhan Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO) di sebuah hotel di Myanmar dengan bantuan rakyat Malaysia di negara berkenaan. Katanya, Muhammad Izzat dibawa ke pusat imigresen di Myanmar untuk urusan dokumentasi dan selepas itu beliau dilaporkan meninggal dunia disebabkan serangan jantung. Luluh hati seorang isteri apabila mengetahui suaminya meninggal dunia secara mengejut di pusat tahanan imigresen di Myanmar.

Mangsa dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan diperdaya untuk ke Bangkok, Thailand pada 7 Oktober sebelum diselamatkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Myanmar. Nurul Diyana Mohd Shukri, 27, ibu kepada dua anak itu berkata, dia menerima panggilan pada 11 malam 14 Oktober lalu daripada seorang lelaki yang mendakwa mewakili warga NGO yang berpangkalan di Malaysia memaklumkan kematian suaminya.

“Lelaki itu memberitahu mereka (NGO) berjaya menyelamatkan suami daripada sindiket (penipuan pekerjaan) tetapi dia kemudian meninggal dunia di pusat imigresen kerana masalah jantung. Lelaki itu turut berkongsi video dan beberapa gambar suami yang kelihatan tidak bermaya. Lelaki itu mendakwa mereka mendapatkan nombor saya daripada telefon suami. Saya sangat terkejut. Saya memaklumkan kepada adik-beradik suami saya dan mereka membuat semakan dengan kedutaan Malaysia di Myanmar yang kemudian mengesahkan kematian suami,” katanya dengan sebak.

Mengenai perjalanan suaminya, Nurul Diyana yang juga suri rumah berkata, suaminya mengenali seorang lelaki di media sosial dan menaja tiket penerbangan dari Kuantan ke Thailand pada 7 Oktober.

“Suami memberitahu dia perlu ke Bangkok selama tiga hari untuk mengambil alat ganti kenderaan. Dia menaiki penerbangan kelas perniagaan dari Kuantan ke Kuala Lumpur, pada 10 pagi. Suami ada menghubungi saya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memaklumkan dia terlepas penerbangan ke Bangkok. Saya beritahu rasa tak sedap hati dan minta dia kembali ke Kuantan tetapi dia memaklumkan rakannya menaja tiket lain bagi kelas ekonomi dan suami meneruskan perjalanan,” tambahnya lagi.

Menurutnya, suaminya ada menghantar nota suara kira-kira 11 malam memaklumkan sudah berada di Bangkok. “Biasanya, dia selalu menghubungi saya tetapi pada 11 Oktober dia tidak berbuat demikian dan gagal dihubungi menyebabkan saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kuantan pada hari berikutnya,” katanya sambil menambah berita mengenai kematian Muhammad Izzat diketahui dua hari kemudian.

Nurul Diyana berkata, suaminya tidak memaklumkan perjalanannya ke Thailand kepada ahli keluarga lain kecuali dirinya. “Kami sekeluarga pernah ke Bangkok untuk bercuti, tetapi ini perjalanan pertama suami seorang diri. Saya memang sedar mengenai sindiket penipuan pekerjaan dan bimbang dia menjadi mangsa. Namun, suami memberi jaminan dia selamat di sebuah hotel di Bangkok dan meminta saya supaya tidak risau, selain berjanji akan pulang ke Malaysia dalam tempoh 10 hari,” katanya.

Sementara itu, abang Muhammad Izzat, Muhammad Hasmalizam, 45, berkata, dia menerima panggilan daripada wakil NGO mendakwa abangnya menghubungi mereka untuk membantu menyelamatkannya dari sebuah hotel di Myanmar.

“Saya menerima panggilan kira-kira 10.30 malam pada 14 Oktober daripada seorang lelaki mengatakan dia berjaya menyelamatkan adik daripada sindiket penipuan pekerjaan tetapi dia meninggal dunia semasa ditahan di pusat imigresen akibat masalah jantung. Saya akan ke Myanmar pada 20 Oktober ini (Jumaat) bersama adik-beradik lain untuk menguruskan pengebumian. Saya harap kerajaan dapat membantu kami,” katanya sambil menambah Muhammad Izzat adalah anak bongsu daripada lapan beradik.

Setakat ini masih belum ada keputusan sama ada jenazah akan dibawa pulang ke tanah air atau dikebumikan di negara berkenaan dan ia bergantung kepada keputusan ahli keluarga.

#PrezCom