Kuala Lumpur, 17 Oktober 2023, 16:41 – TERKEJUT apabila melihat beberapa video kandungan eksplisit dimuat naik pada 16 Oktober 2023 ke akaun Facebook rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Perak, warganet yang melayari laman FB tersebut telah melaporkan kejadian ini kepada pihak SPA Perak untuk perhatian dan tindakan lanjut mereka. Video eksplisit terakhir dimuat naik pada jam 9:00 malam pada hari yang sama.
Percaya bahawa godaman tersebut dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab yang berjaya mendapatkan akses tanpa kebenaran ke akaunnya, SPA Perak telah mengeluarkan kenyataan di laman sesawang rasmi mereka, https://spa.perak.gov.my/, untuk memberitahu orang ramai bahawa laman Facebook rasmi itu telah digodam dan menasihatkan pengguna untuk tidak mengakses akaun yang terjejas itu sebagai tindak balas kepada situasi ini.
Untuk mengatasi masalah ini, SPA Perak telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dan melibatkan pihak berwajib untuk menyiasat dan menyelesaikan perkara tersebut. Mereka menekankan bahawa akaun Facebook yang terjejas ini tidak lagi dianggap sebagai medium rasmi untuk penyebaran maklumat. Pengguna digesa untuk bergantung kepada laman web SPA Perak sahaja untuk maklumat yang paling terkini dan tepat lebih-lebih lagi kepada pengguna yang ingin mendapatkan maklumat tentang kerja kosong dan juga yang sedang menanti hasil keputusan temuduga kerja.
Sehubungan dengan itu, SPA Perak turut mengucapkan penghargaan kepada orang awam yang telah menunjukkan keprihatinan dan sokongan dalam menghadapi kejadian ini, dan mengakui bahawa keselamatan siber adalah tanggungjawab bersama. Kejadian ini adalah pengingat akan kepentingan mengekalkan keselamatan dan integriti platform dalam talian.
Kejadian ini menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan siber dan penggunaan teknologi lebih-lebih lagi jika ia dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Ia juga turut menjadi pemberi ingatan yang kukuh terhadap pentingnya keperluan kepada peningkatan kewaspadaan dan langkah-langkah keselamatan siber yang kukuh. Hal ini kerana dalam era digital seperti sekarang, entiti kerajaan pun boleh turut menjadi mangsa serangan siber.
#PrezCom