Kuala Lumpur, 17 Oktober 2023, 13:43 – PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah membuat keputusan untuk merasionalisasikan subsidi kerana tindakan itu memerlukan satu rencana yang tegas dan baharu bagi mengelakkan ketirisan melalui penyeludupan dan salah guna kuasa. Dengan itu, warga asing yang berjumlah lebih kurang 3.5 juta di Malaysia tidak lagi akan dapat menikmati subsidi seperti mana yang dinikmati oleh golongan sasar di Malaysia dan golongan mahakaya juga tidak akan dapat menikmatinya seperti dahulu. Keputusan yang diambil oleh kerajaan dan Perdana Menteri ini dilihat satu keputusan yang tepat yang dilakukan kerana ini juga merupakan keputusan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia. Salah satu sebab mengapa subsidi perlu diteruskan adalah kerana harga barangan didapati akan melambung naik dan ini akan memberi kesan kepada rakyat dibawah terutama golongan B40.

Keadaan di Malaysia waktu ini dikira amat menyukarkan kerana pendapatan bulanan rakyat Malaysia sangat rendah dan ia tidak selaras dengan kos sara hidup yang makin meninggi. Perdana Menteri berkata beliau sedar akan kritikan dari berbagai pihak terutama mengenai tarif eletrik yang dikatakan membebankan rakyat. Menurut Perdana Menteri peningkatan tarif itu hanya melibatkan 10 peratus kumpulan rakyat tertinggi (T20) yang dilihat mampu memberi penjimatan kepada wang kerajaan sehingga RM4.6 bilion setahun. Mengenai subsidi ayam dan telur ianya diberi subsidi secara berterusan di waktu pentadbiraan kerajaan sekarang dan ini yang membezakan kerajaan di hari ini dan kerajaan yang memerintah dahulu yang mana subsidi untuk kedua-dua barangan itu hanya diberi pada musim perayaan sahaja.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan sedang mencari pendekatan dalam pemberian minyak diesel apabila dikesan berlakunya ketirisan oleh kegiatan penyeludupan. Harga kereta tidak naik hingga ratusan atau puluhan ribu tetapi harga minyak naik puluhan ratus. Minyak sering diseludup keluar dan itu menguntungkan warga luar. Maka, harga minyak perlu dirasionalisasikan supaya hanya rakyat negara kita sahaja yang berhak menikmatinya. Pada masa sekarang subsidi untuk setahun bernilai 81 billion iaitu yang tertinggi di dunia. Beliau mengulas mengenai kenyataan yang pernah dibuat oleh beliau pada satu ketika dahulu bahawa sekiranya PH menjadi kerajaan hari ini, harga minyak akan turun.

Menurut beliau lagi, perkara itu telah pun dijelaskan di Parlimen, masa itu tahun 2008 dalam Pakatan Rakyat bersama DAP dan Pas, masa itu harga minyak di Arab Saudi 50 sen, sekarang minyak Arab Saudi RM2.85, negara kita pula RM2.05 bersubsidi. Konteks itu berbeza, bukan saya nak pertahankan, nak turun macam mana?

Perdana Menteri turut mengulas mengenai penarikan subsidi Tabung Haji kepada golongan orang kaya. Selama ini golongan kaya juga turut menikmati subsidi pemberian kerajaan untuk golongan bawah yang kurang kemampuan untuk menunaikan haji dan perkara itu tidak pernah menjadi rungutan daripada pihak kerajaan. Baru-baru ini Perdana Menteri ada menyuarakan sekiranya seseorang individu itu memperolehi pendapatan melebihi RM100,000 maka tidak perlu mengambil subsidi. Beliau amat bersyukur kerana saranan itu telah disambut baik oleh golongan tersebut. Mereka yang lain menengah atas, bawah malahan B40 bagi tambahan sedikit lagi subsidi.

Perdana Menteri menasihati rakyat supaya menerima apa sahaja pemberian kerana ini merupakan usaha daripada kerajaan untuk membantu rakyat terutama golongan B40. Banyak lagi bantuan yang akan diwujudkan oleh kerajaan memandangkan kenaikan harga barang tidak dapat dielakkan. Kerajaan sedang mengambil langkah untuk mengadakan rundingan dengan pihak swasta bagi menyelaraskan gaji pekerja swasta demi untuk mengimbangi kos sara hidup yang amat mencengkam kehidupan rakyat di hari ini.

#PrezCom