Kuala Lumpur, 16 Oktober 2023, 19:34 – UMUM perlu mengetahui bahawa tiada akta khusus untuk mengatasi masalah gangguan seksual di dalam negara kita. Pada tahun 1999, pihak Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah melancarkan ‘Kod Amalan untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja’. Berdasarkan Kod Amalan tersebut, gangguan seksual di tempat kerja dibahagikan kepada dua katagori iaitu gangguan secara langsung dan gangguan secara tidak langsung. Hanya terdapat beberapa jenis peruntukan undang-undang yang terdapat di Malaysia yang digunapakai untuk mengatasi masalah gangguan seksual seperti Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177], Akta Kerja 1955 [Akta 265] serta Kanun Keseksaan [Akta 574].
Masalah gangguan seksual bukan sahaja berlaku kepada kaum wanita sahaja. Golongan lelaki juga boleh menjadi mangsa gangguan seksual di tempat kerja. Pada bulan Februari 2019 yang lalu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Hannah Yeoh ada mendedahkan bahawa kaum lelaki juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa gangguan seksual di tempat kerja. Ini berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan bahawa dari tahun 2013 hingga 2017 terdapat seramai 257 lelaki dilaporkan telah menjadi mangsa daripada keseluruhan 1,218 kes gangguan seksual yang dilaporkan. Risiko dan cabaran tetap ada di mana-mana dan diri sendiri perlu berani menghadapi jika mahu terus hidup aman dan selesa. Tidak perlu takut kerana negara kita mempunyai undang-undang yang melindungi.
Masyarakat di negara kita sering menganggap bahawa kaum lelaki tidak mungkin menjadi mangsa gangguan seksual kerana kaum lelaki adalah kuat dari segi fisikal, emosi dan mental dalam menghadapi segala masalah berbanding dengan kaum wanita. Banyak kajian telah dilakukan di serata dunia yang menunjukkan bahawa gangguan seksual di tempat kerja yang melibatkan mangsa kaum lelaki kian meningkat dari tahun ke tahun. Pihak mangsa sama ada mangsa lelaki ataupun wanita tidak seharusnya berdiam diri serta biarkan masalah terbabit berlalu tanpa tindakan diambil terhadap diri pelaku bagi mengelakkan masalah gangguan seksual berkenaan berterusan berlaku terhadap diri mereka serta orang lain. Kaum lelaki atau wanita perlu bijak untuk menguruskan diri dalam berbagai situasi apabila terasa diri tidak selamat atau sentiasa terdedah pada bahaya disekeliling.
Contoh-contoh perlakuan gangguan seksual secara tidak langsung adalah seperti kata-kata lucah, perbuatan menjilat bibir, memegang atau memakan makanan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks, menunjukkan bahan–bahan lucah, melukis gambar lucah, mengulangi jemputan sosial yang telah ditolak dan melakukan sentuhan yang tidak diingini seperti menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium dan meraba. Gangguan seksual jenis ini boleh dilakukan oleh pihak majikan, rakan sekerja ataupun pelanggan. Pada masa ini terdapat beberapa usaha bagi meminta pihak kerajaan memperkenalkan akta khusus bagi atasi masalah gangguan seksual dalam negara kita agar masalah berkenaan dapat diselesai mengikut peruntukan undang-undang yang lebih jelas dan berkesan tanpa menggunakan atau menumpang kepada akta-akta sedia ada yang lain seperti Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177], Akta Kerja 1955 [Akta 265] serta Kanun Keseksaan [Akta 574].
Sama ada kaum lelaki atau kaum wanita seharusnya menjaga adab dan tatasusila dalam kehidupan seharian. Semuanya terpulang pada diri sendiri bagaimana untuk menjaga kehormatan diri walau di mana berada. Sama ada di rumah atau di tempat kerja, gunakan akal fikiran yang waras sebelum bertindak untuk melakukan sesuatu. Baik perbuatan atau tuturkata hendaklah sentiasa disenangi dan dihormati oleh semua peringkat manusia. Paling penting adalah kembali kepada ajaran agama atau kembali ke pangkal jalan andainya menyedari diri itu sudah terlanjur perbuatan atau mempunyai nafsu yang kuat untuk melakukan sesuatu yang terlarang di dalam agama. Diri sendiri yang mencorakkan kehidupan kita. Hitam atau putih semuanya terletak dihati untuk mewarnainya.
#PrezCom