Kuala Lumpur, 16 October 2023, 17:27 – DASAR subsidi akan terus membebankan negara kerana subsidi dilihat sebagai sesuatu yang terpaksa ditambah berbanding peruntukan yang disediakan dalam pembentangan belanjawan. Melalui belanjawan 2023 kerajaan memberi jaminan bahawa dasar subsidi bersasar tidak akan menekan dan memberi kesan kepada rakyat. Perkara ini telah disuarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menjawab soalan menteri di dalam Dewan pada 10 Oktober yang lepas. Buat masa ini, kerajaan telah menanggung jumlah subsidi yang mendesak sebanyak 81 billion. Namun, pada pendapat kerajaan termasuk jemaah menteri, subsidi ini lebih mesra dan tidak menekan rakyat.

Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, langkah kerajaan menyasarkan subsidi adalah untuk mengurangkan serta memulakan penstrukturan subsidi kepada kumpulan yang benar-benar memerlukannya. Dengan melaksanakan subsidi secara bersasar ini dilihat dapat mengurangkan RM30 billion kantung negara dan ia dicadangkan untuk dilakukan pada tahun hadapan. Oleh kerana peruntukan yang dapat disediakan adalah terhad, jadi permohonan kerajaan negeri perlu disaring dan dinilai oleh kementerian terlebih dulu.

Ketika ini harga minyak mentah dunia mencecah AS$95 bagi setiap tan dan akan mencecah AS$100 setong tidak lama lagi. Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata, sekiranya kerajaan melakukan reformasi sistem bersubsidi, kerajaan tidak perlu menanggung melebihi RM100 billion setahun. Maka, perbelanjaan ini lebih baik disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan supaya lebih banyak peruntukan boleh digunakan untuk khidmat rakyat bagi perbelanjaan lain seperti pembangunan.

Menurut Rafizi lagi, peruntukan itu diagihkan untuk melaksanakan projek yang diluluskan berdasarkan permohonan dan keperluan dikemukakan kepada kementerian, bukannya daripada pihak negeri. Beliau bertanya, apakah kaedah paling adil kepada rakyat untuk mengimbangi kesan makro yang lain seperti inflasi, katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat. Sebelum mengemukakan permohonan projek, semua kementerian diminta mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan di peringkat negeri kerana ini adalah peruntukan daripada persekutuan yang disalurkan melalui agensi Persekutuan.

Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan hari ini melaporkan Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan subsidi berjumlah RM55.443 bilion pada 2022, peningkatan 322.1 peratus atau RM42.309 bilion daripada RM13.134 bilion pada 2021. Subsidi bagi produk petroleum merekodkan peruntukan tertinggi sebanyak RM45.184 bilion atau 81.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan. Kerajaan telah lama memberi subsidi kepada barangan dan perkhidmatan asas bagi mengurangkan beban rakyat. Antaranya ialah subsidi beras, tepung, minyak masak, ayam dan telur, elektrik, petrol, diesel, gas memasak, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Di Malaysia, subsidi telah menjadi sebahagian daripada ekonomi negara sejak berpuluh tahun sehingga rakyat sentiasa berharap kerajaan terus menyediakannya. Ini kerana rakyat terlalu biasa dengan perkhidmatan dan barangan bersubsidi seolah-olah ia menjadi hak mereka yang tidak boleh dipisahkan. Timbul gesaan daripada berbagai pihak agar sistem subsidi yang diamalkan sekarang diubah. Salah satu cadangan pembaharuan utama ialah menggantikan mekanisme subsidi pukal yang memberi manfaat kepada semua, termasuk golongan berpendapatan tinggi kepada satu kaedah lebih fokus kepada keperluan golongan yang memerlukan bantuan.

Kerajaan memberi subsidi kepada banyak barangan dan perkhidmatan. Beras yang dijual pada harga RM2.60 sekilogram adalah antara terendah di Asia Tenggara. Caj pesakit luar hospital kerajaan hanya RM1. Pendidikan rendah dan menengah pula percuma. Kursus Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan di Universiti Malaya hanya perlu bayar RM14,990 untuk keseluruhan program – antara yang terendah di dunia – namun harus diingat bahawa sebahagian daripada kos ini turut disubsidi oleh kerajaan. Bantuan diberi dalam bentuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Bantuan Makanan Asrama, Bantuan Makanan Prasekolah, Skim Pinjaman Buku Teks, Bantuan Awal Persekolahan dan Biasiswa Kecil Persekutuan.

#PrezCom