Kuala Lumpur, 14 Oktober 2023, 11:43 – KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyambut baik pembentangan Belanjawan MADANI 2024 oleh YAB Perdana Menteri terutama berkenaan keterjaminan makanan negara. Belanjawan tersebut diyakini mampu mengukuhkan peranan KPKM dalam mendepani cabaran isu-isu semasa di dalam sektor pertanian dan agromakanan.
Peruntukan yang besar ini membolehkan KPKM memacu sektor agromakanan yang berfokus kepada agenda pemodenan dan kelestarian aktiviti pertanian, pengukuhan infrastruktur pertanian, pembangunan secara holistik terhadap rantaian nilai agromakanan dan pemerkasaan agenda kebajikan petani, nelayan, penternak dan pesawah di samping fokus utama untuk memastikan keterjaminan makanan kepada semua rakyat Malaysia. Secara keseluruhannya, KPKM telah diperuntukkan sebanyak RM6.17 bilion iaitu kenaikan sebanyak 14.4 % berbanding RM5.39 bilion pada tahun 2023. Peningkatan ini membuktikan keutamaan Kerajaan dalam memacu sektor pertanian sebagai sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.
Selaras dengan agenda Kerajaan Perpaduan untuk terus memperhebat usaha menjamin kelangsungan industri agromakanan negara yang lebih mandiri, Kerajaan memutuskan beberapa inisiatif berikut:
I. Menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan metrik daripada RM1,200 per tan metrik. Kali terakhir ianya diselaraskan adalah pada tahun 2014;
II. Memulakan usaha rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh 2 tahun di beberapa kawasan jelapang dengan membina infrastruktur pengairan tersier di kawasan Pertanian Muda bagi meningkatkan pengeluaran padi melalui pelaburan bernilai RM3 bilion. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan oleh KPKM dalam meningkatkan pengeluaran hasil padi bagi mencapai sasaran kadar Tahap Sara Diri (SSR) beras negara sebanyak 80 peratus pada tahun 2030. Secara tidak langsung, inisiatif ini akan mengurangkan kebergantungan negara kepada beras import, selain memberikan pendapatan tambahan kepada pesawah menerusi pertambahan satu musim tambahan berbanding tempoh penanaman konvensional;
III. Meningkatkan peruntukan subsidi padi bukit atau padi huma daripada RM40 juta kepada RM50 juta dalam usaha meluaskan kawasan penanaman padi bukit daripada 43 ribu hektar. Inisiatif ini dijangka akan dapat membantu meringankan kos penanaman padi bukit atau huma oleh pesawah di Sabah dan Sarawak;
IV. Untuk manfaat para nelayan, Kerajaan terus mengekalkan subsidi diesel pada harga terendah iaitu RM1.65 seliter kepada nelayan kelas tertentu dengan kuota 840 juta liter setahun; elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan; Insentif Hasil Tangkapan Nelayan sehingga RM1,000 sebulan; dan menyediakan 10 juta ringgit untuk tujuan membina baharu dan baik pulih rumah nelayan yang uzur. Inisiatif ini merupakan salah satu usaha untuk terus menjaga kebajikan nelayan;
V. RM400 juta pula disediakan bagi melaksanakan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan.
• RM150 juta untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan hasil tanaman dan ternakan;
• RM50 juta bagi melaksanakan kaedah baharu perolehan baja secara tender terbuka; dan
• RM50 juta untuk membekalkan 50 ribu pesawah dengan baja bio dan organik.
VI. Bagi peningkatan kapasiti pengeluaran produk pertanian dan daya saing agroprenuer muda, Agrobank menyediakan kemudahan pinjaman kepada pengusaha agromakanan dengan ketersediaan dana sehingga RM430 juta;
VII. RM50 juta disediakan di bawah Tabung Bencana Pertanian bagi memberi pampasan kepada petani, penternak dan nelayan yang terkesan akibat bencana; dan
VIII. RM50 juta turut disediakan sebagai dana permulaan di bawah Skim Takaful Tanaman Padi bagi memberi perlindungan kepada pesawah yang terkesan akibat bencana.
Bagi mendepani agenda keterjaminan makanan, KPKM akan melaksanakan inisiatif Belanjawan 2024 secara cekap, berhemat serta efisyen bagi memastikan golongan sasar yang telah dikenalpasti mendapat manfaat segera daripada pengumuman ini. Saya yakin inisiatif Belanjawan MADANI akan dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara, meningkatkan kesejahteraan rakyat khususnya dalam agenda memperkukuh keterjaminan makanan negara selaras dengan objektif dan sasaran di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).
#PrezCom