Kuala Lumpur, 14 Oktober 2023, 14:00 – DALAM Belanjawan 2024 Malaysia MADANI, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion untuk menangani isu kritikal bekalan air bersih di kawasan dalam Malaysia. Perdana Menteri menyuarakan tentang pentingnya bagi menyelesaikan masalah ini terutamanya bagi negeri-negeri seperti Kelantan, Sabah dan Labuan.

Bagi mengatasi isu air bersih di Kelantan, projek pembinaan Loji Rawatan Air Machang Fasa Satu dengan kapasiti sehingga 250 juta liter sehari akan dijalankan. Selain itu, tindakan menggantikan paip simen asbestos akan dilaksanakan untuk mengurangkan kerugian air serta gangguan bekalan akibat kebocoran paip. Justeru itu, sewaan lori tangki dan tangki statik akan ditambah untuk memastikan penduduk Kelantan tetap mendapat bekalan air walaupun berlaku gangguan sementara projek ini dijalankan nanti.

Sementara itu di Kota Kinabalu, Sabah pula penyelesaian isu air telah diperuntukkan kepada pemulihan dan penggantian infrastruktur dan peralatan loji rawatan air. Manakala di Wilayah Persekutuan Labuan pula, tumpuan adalah kepada penggantian paip-paip lama serta pembaikan infrastruktur sedia ada.

Sebelumnya, rakyat telah menyuarakan keluh-kesah tentang isu air bersih terutamanya penduduk di kawasan Kelantan melalui platform media sosial seperti Facebook, Tiktok dan Youtube. Isu air bersih bukanlah suatu isu baharu dan ia telah acapkali diadukan sejak bertahun-tahun lalu. Oleh itu melalui Belanjawan 2024 Malaysia MADANI ini, ia adalah langkah penting dalam usaha meningkatkan bekalan air bersih di Kelantan, Kota Kinabalu dan Labuan khasnya, serta di seluruh negara amnya.

#PrezCom