Kuala Lumpur, 12 Oktober 2023, 16:06 – POLIS Peru telah menyelamatkan 43 orang rakyat Malaysia dan seorang dari Taiwan dalam satu serbuan oleh Pertubuhan Penjenayah Taiwan. Semua mangsa yang diselamatkan itu dipercayai telah dikerah bekerja dalam skim peras ugut wang (scammer) melalui talian di negara Amerika Selatan itu.

Kegiatan sindiket penipuan dalam talian itu menyasarkan syarikat-syarikat besar dari Malaysia dan Taiwan untuk menuntut wang dengan menyamar sebagai pegawai polis atau pegawai-pegawai dari mahkamah. Kesemua ahli sindiket itu diarah untuk bekerja pada waktu malam dan menjalani kehidupan dalam keadaan yang sempit dan sesak serta hanya dibenarkan makan sekali sehari.

Dalam operasi menyelamat itu, pihak berkuasa Peru turut menahan 6 orang warga Taiwan dan 2 orang warga Peru. Semasa tangkapan dibuat, beberapa orang mangsa sindiket itu memberitahu kesemua mereka dibawa ke Amsterdam, Belanda kemudian masuk ke Peru pada bulan September lalu dan dijanjikan pekerjaan di kasino di Lima, Peru.

Malangnya apabila tiba di Peru, pasport mereka telah dirampas oleh kumpulan penjenayah yang digelar Naga Merah dan didalangi oleh warga Taiwan. Selepas merampas pasport, penjenayah itu telah memutuskan talian komunikasi mangsa dengan dunia luar supaya kegiatan mereka tidak diketahui oleh mana-mana pihak.

Polis Peru seterusnya membuat serbuan ke atas tempat persembunyian penjenayah tersebut dengan bantuan dua orang mangsa wanita yang berjaya melarikan diri daripada sindiket itu. Dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai lebih AS$10,000 (RM47,320), berpuluh-puluh telefon bimbit dan kad bank dari kediaman di mana semua warga asing itu ditahan.

Sering berlaku di Malaysia, anak-anak muda terpedaya dengan janji manis rakan yang dikenali atau baru dikenali mengenai tawaran bekerja di luar negara. Mereka yang menjadi mangsa ini adalah dalam kalangan mereka yang mudah percaya dengan kata-kata atau yang bergantung sepenuhnya kepada rakan-rakan atau agen pencari kerja untuk mendapatkan pekerjaan yang lumayan untuk mereka. Pengalaman mangsa yang pernah menjadi anggota sindiket penipuan wang dalam talian berkata, mangsa dijanjikan dengan berbagai perkara menarik sekiranya bekerja di luar negara. Antara perkara yang dijanjikan adalah tempat tinggal yang mewah, kenderaan yang akan menjadi milik sendiri, makanan yang sedap dan gaji yang berlipat kali ganda.

Disebabkan kurangnya pengetahuan, tentang kehidupan dan keadaan di luar negara, ramai anak muda yang begitu teruja apabila anggota sindiket memberi sedikit gambaran yang indah kepada anak-anak muda ini dan tanpa berfikir panjang mereka terus menerima tawaran kerana ingin menikmati kehidupan yang berbeza dari tanah air sendiri. Itulah antara perkara-perkara yang membawa kepada penghijrahan anak-anak muda Malaysia ke luar negara samada mereka bekerja secara sah atau diculik ataupun masuk secara haram dan juga bekerja secara haram tanpa permit yang sah atau bekerja sebagai scammer akibat dijerat oleh anggota sindiket.

Oleh itu, buat masa ini adalah amat penting untuk anak-anak muda negara kita didedahkan dengan berita-berita tentang kegiatan memperdagangkan manusia akibat ditipu oleh agen untuk bekerja di luar negara secara meluas. Ini bertujuan untuk memberi peringatan dan lebih berhati-hati dalam memilih kawan dan jangan mudah percaya kepada cakap-cakap orang terutama tentang kemewahan negara luar yang dikatakan bagai syurga dunia yang menjanjikan berbagai keindahan dan kekayaan. Dengarlah nasihat orang-orang yang pernah menjadi mangsa sindiket tersebut dan dengarlah nasihat orang-orang tua serta dengarlah nasihat pihak polis supaya tidak menyesal di kemudian hari.

#PrezCom