Kuala Lumpur, 12 Oktober 2023, 11:30 – KECOH di media sosial dengan reaksi marah dan kecewa para penumpang MYAirline tentang penutupannya yang tiba-tiba dan mengejutkan hari ini. Penumpang yang tiba di lapangan terbang menghadapi kebingungan dan ketidakpastian kerana syarikat penerbangan tersebut tidak memberikan notis awal, malah tiada wakil atau pekerja MYAirline di lokasi hadir untuk memberi bantuan segera.
Keputusan mengejut ini telah menyebabkan penumpang terdampar di lapangan terbang dan berasa hampa. Media tempatan melaporkan, banyak daripada mereka meluahkan rasa tidak puas hati dan berkongsi pengalaman di platform media sosial seperti Twitter dan Facebook. Antara perkara yang disoroti adalah mengenai rancangan perjalanan yang terganggu, tempahan yang hilang dan juga ada yang terpaksa membeli tiket penerbangan saat akhir dengan syarikat penerbangan lain yang jauh lebih tinggi harganya. Rata-rata penumpang juga meluahkan rasa kesal kerana sedikit maklumat mengenai pemulangan wang atau alternatif lain disediakan ekoran penutupan yang tidak diberi notis ini.
Ekoran daripada kejadian ini, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah segera menubuhkan saluran-saluran khas untuk membantu penumpang yang terkesan akibat penangguhan tiba-tiba operasi syarikat penerbangan tersebut. MAVCOM menggesa semua penumpang dengan tempahan pada MYAirline untuk penerbangan dari 12 Oktober 2023 dan seterusnya, untuk menghubungi saluran aduan syarikat penerbangan tersebut di customercare@myairline.my untuk pertanyaan dan bantuan mengenai tempahan mereka. Penumpang juga dinasihatkan untuk memeriksa polisi insurans perjalanan mereka yang mungkin menawarkan pampasan bagi pembatalan secara tiba-tiba.
Sehubungan dengan itu, pegawai kerajaan sedang memantau situasi ini dengan teliti dan berbincang dengan pengurusan MYAirline untuk memberikan penjelasan mengenai pemulangan wang penumpang dan bantuan kepada mereka yang terjejas. Kementerian Pengangkutan Malaysia telah menyatakan bahawa MYAirline perlu memberikan penjelasan kepada kementerian melalui MAVCOM sebelum bantuan lebih lanjut boleh ditawarkan.
Sementara itu, dalam satu media tempatan melaporkan maklum balas daripada MYAirline yang menyebut bahawa tekanan kewangan yang teruk adalah punca kepada penangguhan tiba-tiba ini. MYAirline menyatakan bahawa langkah itu diperlukan sementara mereka membina penstrukturan semula pemegang saham dan mencari modal baharu kepada syarikat.
Baru-baru ini terdapat laporan bahawa syarikat itu sedang berbincang dengan pelabur baharu yang berpotensi termasuklah Abang Abdillah Izzarim Abang Abdul Rahman Zohari, anak kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Perkembangan ini berikutan peletakan jawatan CEO MYAirline, Rayner Teo, atas alasan kesihatan seminggu sebelumnya.
Ketidakpastian mengenai penggantungan tiba-tiba MYAirline ini meninggalkan banyak soalan yang belum dijawab, dan penumpang dengan penuh harap menanti perkembangan lanjut mengenai rancangan perjalanan yang terganggu. Insiden ini memberi amaran yang jelas tentang cabaran yang dihadapi oleh industri pelancongan dalam waktu yang tidak menentu, menekankan kepentingan perancangan dan rancangan perjalanan yang fleksibel.
#PrezCom