Kuala Lumpur, 12 Oktober 2023, 18.00 – KEMENTERIAN Kesihatan melancarkan tinjauan kaji selidik mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bagi Generasi Penamat Perokok (GEG) di aplikasi MySejahtera.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata tinjauan ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia yang boleh didapati melalui aplikasi MySejahtera mulai hari ini. Bagaimanapun, pengguna MySejahtera perlu mengemas kini aplikasi mereka yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store untuk telefon Android dan Apple App Store untuk telefon iOS. “Tinjauan itu merangkumi pelbagai topik, termasuk pandangan orang ramai mengenai risiko kesihatan merokok, peruntukan GEG dan RUU Kawalan Produk Tembakau untuk Kesihatan Awam 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
RUU GEG yang secara rasmi dikenali Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bertujuan melarang penggunaan, pembelian dan penjualan rokok dan produk vape kepada mereka yang lahir selepas 1 Januari 2007. Tindakan kerajaan menarik semula bacaan kali kedua RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat Rokok itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan Ahli Parlimen dan rakyat berikutan alasan diberikan disifatkan lemah.
KKM juga menangguhkan taklimat media mengenai RUU itu yang dijadualkan petang semalam. Penangguhan itu dibuat bagi menampung urusan Parlimen lain, tetapi pihak Kementerian Kesihatan tidak menyatakan tarikh baharu untuk pembentangan RUU tersebut.
Pada aplikasi My Sejahtera itu, tertera gambar Dr Zaliha mengalu-alukan orang ramai berkongsi pandangan sama ada bersetuju atau tidak mengenai lima soalan berkaitan GEG yang diajukan. Lima soalan berikut adalah:
1. Persetujuan peserta kaji selidik mengenai penggunaan rokok konvensional dan rokok elektronik atau vape yang mendatangkan bahaya kepada kesihatan.
2. Persetujuan adakah seseorang itu sedar atau tidak mengenai usaha KKM membentangkan RUU Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 serta RUU GEG.
3. Persetujuan langkah pihak kerajaan untuk mengawal semua produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape.
4. Persetujuan mengenai peruntukan GEG di mana penjual dilarang menjual sebarang bentuk produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape kepada golongan GEG iaitu individu yang lahir pada tahun 2007 dan seterusnya.
5. Persetujuan peruntukan GEG di mana individu yang lahir pada tahun 2007 dan seterusnya tidak dibenarkan merokok rokok konvensional serta rokok elektronik atau vape sepanjang hayatnya.
Walau bagaimanapun, ada beberapa NGO yang membantah Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bagi generasi penamat perokok (GEG) ini. Mereka menyarankan agar menyingkirkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau lebih dikenali sebagai RUU Generasi Penamat Rokok (GEG) tetapi mempercepatkan peraturan untuk industri vape.
Presiden Malaysian Vapers Alliance (MVA), Khairil Azizi Khairuddin berkata, GEG yang menyasarkan mereka yang lahir pada tahun 2007 dan seterusnya, adalah tidak adil kerana akan mendiskriminasi pengguna. Ini kerana katanya, sekiranya RUU tersebut diluluskan, ia akan menjadi larangan seumur hidup kepada sekumpulan rakyat Malaysia, walaupun selepas mereka menjadi dewasa sepenuhnya yang berupaya untuk membuat pilihan.
Bahkan katanya, pengguna yang lahir sebelum 2007 juga akan terkesan kerana mereka perlu membuktikan tarikh lahir mereka semasa membuat pembelian dan mungkin memerlukan mereka untuk membawa pengenalan khas atau sistem kesan dan jejak identiti. RUU berkenaan bertujuan mewujudkan generasi yang bebas daripada tabiat merokok, namun ia hanya akan membabitkan golongan individu lahir selepas 1 Januari 2007.
Ia antara lain melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau vape kepada individu yang dilahirkan pada tahun selepas 2007. Pada masa yang sama, katanya, MVA percaya bahawa peraturan untuk industri vape amat diperlukan, dan mesti diteruskan.
#PrezCom