Kuala Lumpur, 12 Oktober 2023, 17:20 – Hidup di bandar besar seperti Kuala Lumpur sememangnya menuntut perbelanjaan yang tinggi baik dari segi makanan mahupun tempat tinggal. Dengan pendapatan yang rendah bagi semua sektor pekerjaan, penduduk bandar besar terpaksa menerima dan mengambil apa yang tersedia di depan mata walaupun tidak puas hati namun digagahkan juga demi untuk meneruskan kehidupan. Disebabkan kos sara hidup yang tinggi, maka sesiapa yang tidak mempunyai keluarga dan tempat tinggal serta bekerja di bandar terpaksalah menyewa bilik yang mahal tetapi sangat kecil seumpama sarang burung.
Baru-baru ini tular di media sosial mengenai sebuah rumah kedai yang diubah suai dan dijadikan 38 buah bilik kapsul untuk disewakan kepada warga kota yang tidak mempunyai tempat tinggal dengan harga RM300 sebulan. Pada pendapat umum ia merupakan satu perbuatan yang melampau bagaikan cekik darah. Bilik seumpama sangkar burung itu hanya berkeluasan 35 kaki persegi dan pergerakan penyewa amat terbatas dengan ruangan sebesar itu. RM300 itu bukanlah harga penamat bagi sewaan tersebut, bil api dan air dikira berasingan dengan satu harga lain yang telah ditetapkan.
Realitinya hidup di bandar besar ini hanyalah indah khabar daripada rupa. Perkongsian seorang remaja yang terkejut melihat penyaman udara dibahagikan antara dua bilik sewa dengan harga ditawarkan RM350 sebulan di Lembah Klang. Selain ruang tamu dan bilik tidur yang dibahagi dua, terdapat pangsapuri yang mengubah suai balkoni untuk dijadikan bilik. Pintu gelangsar dijadikan pintu bilik tanpa memikirkan keselesaan penyewa atau tidak. Disebabkan banyak permintaan daripada pencari rumah atau bilik sewa, maka semakin banyak rumah seperti pangsapuri atau flat diubah suai untuk dijadikan bilik sewa kapsul dan pemilik atau tuan rumah akan mendapat pendapatan yang lumayan melalui sewaan ini. Walaupun penyewa terpaksa membongkokkan badan dan melunjurkan kaki namun penyewa tidak boleh mengkritik apa-apa pun kerana hanya itu saja jenis bilik yang mampu disewa.
Terdapat beberapa jenis rumah yang diubah suai dengan menggunakan papan lapis sebagai pembahagi untuk mengasingkan bilik untuk disewakan. Terdapat sebuah rumah di bandar Shah Alam yang dijadikan 7 buah bilik sebesar sekangkang kera dan disewa sejumlah RM400 sebulan tanpa salur pengudaraan dan ciri-ciri keselamatan yang selamat. Mendengar kepada keluhan anak rantau yang mendiami bilik seperti sarang burung itu amatlah menyentuh perasaan. Harga bilik yang mahal atau harga kayangan terpaksa dibayar walaupun tidak puas hati namun terpaksa didiami juga kerana tidak mampu dengan pilihan lain yang lebih mahal. Persoalannya disini, adakah pihak berkuasa tempatan dan pihak bomba sedar akan kewujudan bilik sarang burung ini yang tidak langsung menjamin keselamatan Penghuninya?
#PrezCom