Kuala Lumpur, 11 Oktober 2023, 12:30 – KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menerima satu video yang tular di media sosial Facebook dan TikTok berhubung seorang warga emas OKU yang telah ditamatkan bantuan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU).
Video tular ini telah dirakamkan di hadapan pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Aras Bawah Menara Teo Chew, Kuala Lumpur. Bagaimanapun setelah semakan dibuat, penama telah menerima bantuan EPOKU iaitu satu insentif kerajaan untuk menggalakkan OKU terus bekerja, mampu hidup berdikari dan seterusnya menjadi ahli masyarakat yang produktif.
Insentif ini diberikan kepada golongan OKU yang bekerja dengan pendapatan RM1500 dan ke bawah. Namun apabila pendapatan telah meningkat atau penerima tidak lagi bekerja, maka kelayakan ini akan terbatal. Penerima telah menerima EPOKU berjumlah RM450.00 bermula pada bulan September tahun 2020 hingga bulan Ogos 2023. JKM telah melakukan penelitian semula pada September 2023 dan mendapati penama tidak lagi bekerja.
“Setelah semakan dibuat, penama telah menerima bantuan EPOKU iaitu satu insentif kerajaan untuk menggalakkan OKU terus bekerja, mampu hidup berdikari dan seterusnya menjadi ahli masyarakat yang produktif. Namun apabila pendapatan telah meningkat atau penerima tidak lagi bekerja, maka kelayakan ini akan terbatal,” menurut kenyataannya pada Rabu.
Sehubungan dengan itu, EPOKU penama telah ditamatkan JKM, mengambil kira penama menerima Bantuan Sara Hidup Tentera, bantuan bakul makanan MAWIP dan bantuan bulanan Baitulmal yang berjumlah RM950.00 setiap bulan selain isteri penama yang menerima pencen sebagai pesara kerajaan.
JKM menawarkan pelbagai jenis skim bantuan bergantung kepada kategori penerima. EPOKU merupakan antara skim bantuan untuk golongan OKU selain daripada Bantuan OKU Tidak Upaya Bekerja (BTB) dan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/Pesakit Kronik Terlantar (BPT). Namun, syarat-syarat kelayakan perlu dipatuhi bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dan berhak menerima bantuan sahaja akan diberikan insentif ini.
Sumber kerajaan adalah terhad dan insentif atau bantuan kepada golongan tertentu adalah berdasarkan kelayakan. Kementerian juga ingin mengingatkan masyarakat untuk bertanggungjawab terhadap perkongsian di media sosial kerana kesan penularan berita palsu ini boleh mencetuskan keraguan dan kebimbangan tidak berasas kepada orang awam.
Kesalahan menyebarkan berita-berita palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan maksimum setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu tular di media sosial melalui platform Facebook dan TikTok bahawa seorang warga emas OKU kononnya telah ditamatkan bantuan EPOKU.
#prezcom