Kuala Lumpur, 11 Oktober 2023, 12:15 – PADA bulan Ogos yang lalu, seorang pegawai kanan polis bersama 14 anggota serta 2 orang Timbalan Pendakwa Raya telah ditahan di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato’ Sheikh Ahmad, Seremban. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, kes tersebut telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya. Apa yang lebih mengejutkan lagi adalah, keputusan saringan urin kesemua 15 anggota polis tersebut juga telah diperoleh dan mendapati sebahagian mereka positif dadah hasil daripada laporan patalogi. Keputusan daripada makmal ujian patalogi itu merupakan keputusan muktamad dan ada beberapa arahan lagi yang perlu diambil tindakan. Buat masa ini anggota-anggota yang terlibat masih ditahan daripada bekerja dan masih di dalam siasatan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, 13 anggota dan seorang pegawai polis serta dua penjawat awam yang ditahan didapati positif dadah, manakala seorang lagi anggota yang didapati negatif dadah telah dikenakan tindakan tatatertib. Susulan daripada tangkapan itu, mereka yang didapati positif dadah telah ditahan daripada bekerja. Dalam serbuan pada awal pagi 19 Ogos 2023, seorang Timbalan Pendakwa Raya dan seorang Pendaftar Mahkamah turut ditahan. Walau bagaimanapun, pada masa itu kesemua anggota yang terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan.

Menurut Datuk Seri Ayob Khan lagi, mereka yang terlibat telah ditahan daripada bekerja. Itu proses biasa selepas dituduh dan sekiranya disabitkan kesalahan kerana didapati bersalah, mereka akan digantung kerja hingga proses rayuan, sekiranya mereka mahu membuat rayuan, mereka akan memohon di mahkamah tinggi atau mahkamah rayuan. Proses ini akan memakan masa yang lama tetapi yang pasti tindakan telah pun diambil ke atas mereka. Pihak polis tidak akan bertolak ansur sama ada polis atau lain-lain jabatan yang ditangkap di pusat hiburan, tetap akan dikenakan tidakan.

Pada jam 2.30 pagi, pada tarikh 19 Ogos 2023, seorang pegawai kanan dan 14 anggota polis ditahan bersama dua timbalan pendakwa raya ketika disyaki sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Sheikh Ahmad di Seremban. Mereka ditahan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman. Suspek diberi jaminan polis kerana ia merupakan proses biasa di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sehingga tahun ini, 741 tindakan tatatertib telah diambil dengan 60 pegawai dan anggota polis dikenakan tindakan buang kerja, sekali gus menunjukkan komitmen Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia dalam menangani isu tatatertib. Amat penting untuk PDRM menjaga nama baik pasukan supaya rakyat tidak hilang kepercayaan dan ragu-ragu untuk mengharapkan perlindungan daripada pihak polis. Sikap anggota perlu baik dan amanah supaya dapat dijadikan contoh kepada masyarakat. Kepada siapa lagi rakyat ingin bersandar kalau bukan kepada pihak polis sebagai perisai keamanan di dalam negara.

#PrezCom