Kuala Lumpur, 10 Oktober 2023, 5.20 petang – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mula melancarkan penyiasatan ke atas sebuah syarikat pembekal beras di Kedah yang dipercayai menjadi punca kepada masalah kekurangan beras tempatan dipasaran negara. Syarikat pembekalan tersebut merupakan syarikat pertanian yang mendapat kontrak membekalkan beras ke seluruh Semenanjung Malaysia dan dimilik oleh kerajaan negeri. Kontrak pembekalan tersebut bernilai RM100 juta setahun dan mula membekalkan beras sejak tujuh tahun lalu.

Mengikut kandungan kontrak, syarikat terbabit, telah membuat pinjaman bank kira-kira RM30 juta bagi membiayai projek itu beberapa tahun lalu. Menurut sumber, pengarah syarikat tersebut dipercayai telah membuat pakatan bersama seorang ahli lembaga pengarah syarikat milik kerajaan negeri terbabit untuk mengesahkan pembelian dan penghantaran sebanyak 28,000 tan beras setahun bernilai lebih RM100 juta namun pembekalan tersebut tidak dibuat.

Menerusi beberapa transaksi, syarikat tersebut dipercayai telahpun menerima amaun kira-kira RM30 juta bagi pembekalan palsu itu. Syarikat terbabit juga telah membuat butiran dokumen palsu untuk dikemukakan kepada pihak bank bagi proses permohonan pembiayaan pinjaman. Susulan dari terbongkarnya kegiatan tersebut, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi telah mengesahkan siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sejak beberapa bulan ini, negara telah digemparkan dengan berita kekurangan dan ketiadaan beras putih tempatan dipasaran negara. Disebabkan kekurangan bekalan beras tersebut, keadaan menjadi tidak menentu dan menaikkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan yang dikatakan tidak mengambil berat tentang masalah rakyat yang dihimpit berbagai kesusahan termasuk kenaikkan harga barangan asas dan kenaikan harga beras.

Sementara itu, di Alor Setar hari ini sebuah kilang beras telah disita selepas dipercayai menyembunyikan 180 tan metrik beras putih tempatan yang dianggarkan bernilai RM405,000. Serbuan ke atas kilang tersebut telah dibuat menerusi ‘Operasi Beras Putih Tempatan’ (OP BPT) yang dijalankan semalam. Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata, ini merupakan sitaan pertama di bawah OP BPT. Namun, buat masa ini lokasi dan nama syarikat kilang itu tidak boleh didedahkan kerana bimbang akan mengganggu siasatan kes yang sedang dijalankan.

Pemeriksaan ke atas kilang itu mendapati, beras bergred Super Spesial Tempatan 5% (SST5) atau beras putih tempatan (BPT) di dalam kampit jumbo berjumlah 180 tan metrik, disorok di gudang yang tidak dinyatakan dalam lesen. Sekiranya kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin, berkemungkinan masalah kekurangan bekalan beras putih tempatan dipasaran negara akan dapat dipulihkan. Ini akan melegakan rakyat yang sedang diselubungi dengan berbagai kenaikan yang tidak pasti bila akan dapat diselaraskan.

#PrezCom