Kuala Lumpur, 10 Oktober 2023, 17:00 – PROGRAM Latihan Khidmat Negara yang sebelum ini berada di peringkat cadangan, secara rasminya telah mendapat persetujuan di parlimen untuk diteruskan dengan membawa pendekatan yang berbeza dari sebelumnya. Perkara ini telah disampaikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa Sidang Dewan semalam. PLKN, yang sebelum ini dihentikan pada tahun 2018 akan disambung semula dengan format latihan yang lebih baik dan efisien.

Menurut Datuk Seri Mohamad Hasan, PLKN 3.0 akan melibatkan latihan di Kem Tentera Wataniah selama tempoh 45 hari yang akan menjadikan kapasiti maksimum kemampuan PLKN untuk menerima hingga 4,000 pelatih pada satu-satu masa. Beliau berkata, “Kerajaan sudah memikirkan semula untuk meneruskan PLKN. Jemaah Menteri pada tahun 2021 sudah meluluskan supaya ia dikaji semula dengan cara baharu untuk kita meneruskan PLKN.”

Sebuah jawatankuasa khas di bawah Kementerian Pertahanan telah ditubuhkan untuk mengkaji bagaimana PLKN boleh dihidupkan semula dengan pendekatan baharu. Hasil daripada usaha ini, PLKN akan dilakukan di 13 kem tentera Wataniah di seluruh negara. Penggunaan kem tentera Wataniah dan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) akan membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan yang sebelum ini mencecah RM500 juta setahun. Dengan PLKN 3.0, kos pelaksanaan dijangka tidak melebihi RM100 juta setahun. Tambahan pula, latihan ini akan memberi pengalaman sebenar kepada pelatih mengenai kehidupan ketenteraan dan kepolisan.

Datuk Seri Mohamad Hasan juga menekankan bahawa latihan ini akan memberi penekanan kepada disiplin dan nilai-nilai ketenteraan. “Disiplin adalah faktor penting, dan melalui latihan ketenteraan ini, kita ingin membentuk generasi muda yang memiliki disiplin tinggi dan semangat nasionalisme yang kuat.” Selepas menyelesaikan latihan, pelatih akan diberi peluang untuk menyertai badan beruniform seperti tentera dan polis, mengikut minat dan kehendak mereka. Dengan PLKN 3.0, kerajaan berharap untuk mencipta generasi muda yang tinggi disiplin dan bersemangat, serta memberi mereka peluang yang lebih luas untuk berkhidmat kepada negara melalui badan beruniform yang berbeza.

Terdahulu, program ini telah diperkenalkan pada Disember 2003 dengan modul latihan selama tiga bulan, merangkumi pelbagai aspek seperti fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter, dan khidmat komuniti dan ia telah dimulakan operasinya pada 2004 dengan 26,000 pelatih sebagai kumpulan pertama. Seterusnya, kira-kira 24% remaja Malaysia berusia 18 tahun telah dipilih untuk menjalani kursus latihan wajib selama tiga bulan di Pusat Latihan PLKN di seluruh negara. Namun, pada 2015, program ini dihentikan untuk menjimatkan kira-kira RM400 juta, lalu dimansuhkan pada 2018 bersama Biro Tata Negara (BTN).

PLKN 3.0 adalah sebuah usaha kerajaan dalam meningkatkan nilai modal insan dalam negara sambil menjimatkan kos seraya memberi peluang kepada generasi muda untuk berkhidmat kepada negara dalam pemilihan profesion badan beruniform.

#PrezCom