Kuala Lumpur, 9 Oktober 2023, 11:00 – PERSIDANGAN Parlimen adalah antara aktiviti tumpuan bagi para pengamal media, orang ramai dan pihak berkepentingan lain. Oleh itu, satu usaha mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta semasa persidangan Parlimen berlangsung telah dibuat dengan menyediakan perkhidmatan van perantara percuma (T851) dari KL Sentral ke Bangunan Parlimen bermula hari ini sehingga 14 Disember. Perkhidmatan ini adalah alternatif kepada pengguna yang mempunyai urusan rasmi di Parlimen atau ingin mengunjungi Taman Botani Perdana.
Rapid Bus, pembekal perkhidmatan ini mengumumkan dalam hebahan poster di laman Facebooknya bahawa van perantara akan beroperasi setiap 30 minit semasa waktu puncak, bermula jam 7 pagi hingga 10.30 pagi dan dari jam 4.30 petang hingga 8 malam. Selain itu, van tersebut akan berjalan setiap 60 minit semasa waktu bukan puncak, iaitu dari jam 11 pagi hingga 4 petang.
Tindakan ini diambil bertujuan untuk mengurangkan masalah kekurangan tempat letak kereta yang biasa berlaku semasa persidangan Parlimen dan Dewan Negara berlangsung. Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Ke-15 telah pon bermula hari ini hingga 30 November, manakala Sidang Dewan Negara pula dijadualkan dari 27 November hingga 14 Disember.
Sebelumnya, inisiatif yang serupa juga telah diperkenalkan pada Februari lalu untuk memberi kemudahan kepada Ahli Parlimen, pegawai kerajaan, dan wakil media ketika persidangan lepas berlangsung.
#PrezCom