Kuala Lumpur, 9 Oktober 2023, 14:00 – MEDIA sosial membentuk sebahagian daripada hubungan penting sesama manusia pada hari ini. Pengguna media sosial sering berkongsi pengalaman dan kenangan serta perkembangan hidup mereka menerusi pelbagai platform termasuk Facebook, Instagram, TikTok, dan aplikasi terbaharu, Threads.

Kaji Selidik Wellness Begins at Home (Kesejahteraan Bermula di Rumah) 2023 oleh Gardenia KL baru-baru ini mendapati bahawa, 32.4 peratus daripada responden berusia antara 26 hingga 30 tahun cenderung berasa tertekan melihat hantaran rakan berkait kehidupan berbanding responden daripada kumpulan umur lain (23 peratus). Data itu menunjukkan trend membimbangkan berkenaan kesihatan mental pengguna media sosial di negara ini.

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia Bakeries KL, Hazlinah Harun berkata, pihaknya percaya perbincangan kesihatan mental seharusnya membabitkan semua golongan peringkat umur, daripada yang muda sehinggalah kepada warga emas. Apabila penggunaan media sosial dalam kalangan remaja semakin meningkat, kesannya terhadap kesihatan mental semakin membimbangkan.

Seorang daripada empat remaja di negara ini, dilaporkan mengalami tekanan emosi manakala seorang daripada lapan remaja berumur 10 hingga 19 tahun pula, menghadapi gangguan kesihatan mental, menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022. Lebih membimbangkan, kajian tersebut turut mendapati seorang daripada 10 remaja mempunyai niat untuk membunuh diri, peningkatan berbanding lebih sedekad yang lalu.

Apabila penggunaan media sosial dalam kalangan remaja semakin meningkat, kesannya terhadap kesihatan mental semakin membimbangkan sehingga boleh mengakibatkan buli siber, keresahan dan kemurungan. “Inilah faktor mendorong inisiatif Kesejahteraan Bermula di Rumah kami, yang memberi tumpuan kepada soal kesejahteraan unit keluarga dan setiap insan di rumah. Hasil kaji selidik itu jelas menunjukkan keperluan meningkatkan kesedaran dan keterbukaan bagi membincangkan punca tekanan mental dan cara lebih sihat untuk menangani cabarannya,” katanya.

Menurut kaji selidik berkenaan, responden mengalami masalah kewangan lazimnya mengelak melayari media sosial dengan harapan mengurangkan perasaan sedih terhadap situasi mereka. Data itu selari dengan hasil kaji selidik Kekayaan Moden 2019 oleh Schwab yang dilaporkan dalam artikel di CNBC. Kaji selidik itu mendapati 49 peratus daripada golongan milenial mendakwa media sosial memberi kesan terhadap perbelanjaan dalam aktiviti mahal.

Pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja di Pusat Perubatan Sunway, Dr Tee Bee Chin berkata adalah penting untuk mengesan tanda-tanda awal ketagihan aktiviti serta permainan dalam talian, yang boleh mendatangkan kesan-kesan sampingan. Beliau berkata ketagihan terhadap aktiviti dan permainan dalam talian, boleh mengakibatkan satu tindak balas negatif dengan pantas dan ia sering menjadi masalah sekunder dalam masalah utama, seperti kesukaran pembelajaran, konflik sosial dengan rakan sebaya serta perbalahan keluarga.

“Ini boleh dilihat melalui tanda-tanda seperti mengasingkan diri daripada aktiviti harian, peningkatan kepada toleransi terhadap masa yang dihabiskan di hadapan skrin dan keasyikan terhadap aktiviti dalam talian. Kami menggunakan asas piawaian untuk mendiagnosis ketagihan, seperti mempertimbangkan faktor-faktor seperti masa yang dihabiskan dalam talian, kesan ke atas kehidupan harian serta kegagalan untuk mengurangkan masa yang dihabiskan di hadapan skrin,” jelasnya.

Dr Tee berkata penggunaan Internet secara berpanjangan juga boleh menyebabkan keresahan, kemurungan dan isu-isu kesihatan mental yang lain, seterusnya menjejaskan kehidupan seseorang kanak-kanak secara fizikal dan mental. Beliau berkata penyelidikan jelas menunjukkan hubung kait yang signifikan antara penggunaan media sosial yang ketara dengan gejala-gejala kemurungan, kegelisahan sosial dan simptom fizikal, yang menunjukkan keresahan terutamanya dalam golongan remaja perempuan.

Selain itu, Dr Tee berkata satu kajian terbaharu juga telah menunjukkan, remaja yang terdedah kepada permainan video yang ganas dengan lebih kerap boleh menunjukkan tahap kemarahan yang lebih tinggi, sering bertelagah dengan guru, penglibatan dalam pergaduhan fizikal yang lebih kerap dan prestasi sekolah yang merosot. Beliau berkata punca-punca yang menyebabkan terjejasnya kesihatan mental dalam kalangan remaja ialah buli siber, takut ketinggalan, ketagihan dan perilaku kompulsif, kurangnya interaksi secara bersemuka dan informasi yang berlebihan.

Justeru bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, Dr Tee menekankan kepentingan melindungi kesihatan mental kanak-kanak pada era digital ini, dengan mengenali tanda-tanda gangguan emosi, mendapatkan bantuan awal dan memupuk persekitaran yang positif. Beliau berkata pengesanan awal dan rawatan yang tepat pada masanya, boleh mengurangkan risiko bunuh diri serta meningkat mekanisme untuk menghadapi tekanan, terutamanya bagi mereka yang bergelut dengan kemurungan, kegelisahan serta kesepian semasa menjalani rawatan.

“Pelbagai rawatan dan terapi mesti disesuaikan kepada keperluan individu serta beberapa faktor lain seperti umur, sokongan, kebolehan yang sedia ada untuk mengatasi masalah, ciri-ciri peribadi serta penerimaan diagnosis atau rawatan oleh kanak-kanak dan keluarga mereka,” tambahnya. Dr Tee berkata ibu bapa perlu mencari rawatan dan nasihat yang sewajarnya daripada pakar kesihatan, yang memahami cabaran untuk menghadapi ketagihan aktiviti dan permainan dalam talian ini.

“Kumpulan sokongan boleh menawarkan pertolongan kepada para remaja yang berhadapan dengan cabaran ini. Mereka akan dapat merasakan ketenangan dalam persekitaran di mana orang dewasa dan rakan-rakan menerima mereka seadanya, tanpa perlu mengubah diri mereka. Untuk memastikan keberkesanannya, kumpulan sokongan khusus yang terdiri daripada pakar psikologi kanak-kanak yang terlatih dengan teknik kaunseling yang betul, boleh memberi manfaat tambahan kepada rawatan untuk pesakit yang mungkin lebih selesa untuk berada antara mereka yang mengalami masalah yang sama,” ujar Dr Tee.

Menurut Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar, ketika pandemik Covid-19 melanda, masyarakat belum bersedia menghadapi kesannya dari segi fizikal dan mental. “Diharap perbincangan kesihatan mental dapat dilakukan menerusi platform Kesejahteraan Bermula di Rumah untuk tahun akan datang kerana kesejahteraan mental satu proses dan ia harus disemai bermula dari rumah,” katanya.

Sementara itu, ramai tidak tahu media sosial sebenarnya boleh dijadikan alat bermanfaat untuk menyokong kesihatan mental. Antara panduan menggunakan media sosial secara positif untuk kesihatan mental lebih baik adalah memastikan hantaran dibuat bersifat positif dan melayani orang lain dengan baik seperti mana anda mahu dilayani. Elak menilai harga diri berasaskan ‘like’ dan memahami kecantikan dan kejayaan boleh dirai dalam pelbagai cara.

Pada masa sama, MIASA sedia menawarkan penilaian dan rundingan kesihatan mental, perkhidmatan kaunseling, terapi kerohanian, penilaian terapeutik, perkhidmatan pakar psikologi dan sokongan rakan setara.

#PrezCom