Kuala Lumpur, 9 Oktober 2023, 18:08 – PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi amaran keras terhadap pegawai bawahannya supaya berhenti bersekongkol dengan sindiket jenayah. Intipati kenyataan Mohd Shuhaily itu adalah menyentuh berkaitan isu penyeliaan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. Ini merupakan susulan arahan daripada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain kepada semua warga PDRM bukan sahaja JSJ Bukit Aman.
Pada 26 Ogos 2023, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain telah mengeluarkan arahan KPN No.191 iaitu penguatkuasaan menyeluruh berkaitan Peraturan 3C Peraturan – Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan &Tatatertib)1993. Arahan KPN No.191 itu adalah antara pelan tindakan jangka pendek yang telah digaris di bawah ‘Fokus KPN ke 14’, selain mahu perkhidmatan PDRM bertunjangkan integriti dan tata kelola yang baik serta mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan rakyat. Perkara serius yang ditekankan di dalam PDRM adalah pegawai polis yang didapati gagal dalam penyeliaan terhadap anggota bawahannya akan diambil tindakan mengikut aturan tatatertib yang berkuatkuasa.
Kesalahan perlanggaran undang-undang yang terbukti dilakukan oleh warga PDRM akan disiasat mengikut tatacara malahan akan dituduh mengikut peruntukan akta berkenaan. Siasatan tatatertib akan dijalankan kepada pegawai dan anggota bawahan PDRM. Jika terbukti bersalah ianya akan berakhir dengan pembuangan kerja atau turun pangkat dan sebagainya bergantung kepada severity of the cases. Bersekongkol dengan kegiatan sindiket dan rasuah berkemungkinan terjadi di dalam pasukan dan ia menimbulkan kemarahan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Sinar Harian melaporkan, pada hari Sabtu yang lepas, anggota mahupun pegawai polis diberi amaran keras sekiranya masih terlibat dan bersekongkol dengan sindiket jenayah. Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, ada yang sanggup menjual nyawa rakan untuk duit imbuhan daripada sindiket. Anggota yang hanya berpangkat Sarjan bagaimana mampu untuk memakai kereta Vellfire atau Mercedes? Dan ianya tidak disoal siasat oleh mana-mana pihak dan tidak pernah diarah untuk mengistiharkan harta mereka. Menurut Datuk Seri Shuhaily lagi, perkara itu berlaku disebabkan tiada penyeliaan di bawah (peringkat kontinjen dan daerah) untuk memantau dan melihat cara hidup pegawai dan anggota bawahan mereka.
Ini merupakan kali pertama seorang pegawai kanan polis secara tegas memberi amaran keras kepada anggota bawahannya di hadapan khalayak ramai dengan menyentuh tentang isu integriti selain tidak teragak-agak menukar Ketua-Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KJSJ) dan Ketua-Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) seluruh Malaysia jika bersekongkol dengan sindiket jenayah. Berikut petikan ucapan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Dalam ucapan yang sama, beliau hanya meminta supaya pegawai dan anggota PDRM menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab. Beliau tidak meminta wang ringgit cuma yang perlu hanya berkerja dan jabatan yang dikendalikan hanya mengikut arahannya sahaja. Dengan nada yang tegas beliau memberi amaran kepada anggota dan pegawai bawahannya supaya menukar sikap atau mereka akan ditukarkan tanpa disyorkan kenaikan pangkat kerana didapati tidak layak untuk menerima sebarang penghargaan disebabkan tidak berintigriti.
#PrezCom