Kuala Lumpur, 8 Oktober 2023, 17:55 – SISTEM Bayaran Terbuka (SPT) kini telah diperkenalkan di lebuh raya yang membenarkan pengguna lebuh raya membayar tol menggunakan kad debit atau kad kredit. Inisiatif ini bertujuan untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna lebuh raya semasa membuat pembayaran tol. Ia telah mula dilaksanakan di 11 lebuh raya di Lembah Klang iaitu AKLEH, GCE, BESRAYA, NPE, BKE, LDP, SPRINT, KESAS, Terowong SMART, MEX, dan DUKE. Manakala, Jambatan Pulau Pinang pula turut dijangka akan memperkenalkan SPT menjelang akhir tahun ini.

Pada 29 September lepas, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah melancarkan satu Majlis Pelancaran Pelaksanaan Sistem Kutipan Tol secara Pembayaran Terbuka (SPT) di Bangunan Pentadbiran Besraya, Plaza Tol Loke Yew (Arah Timur). Dalam majlis tersebut, beliau telah memuji usaha ini dan menekankan bahawa kaedah pembayaran alternatif ini melengkapkan kaedah pembayaran tol sedia ada seperti Touch ‘n Go, Smart Tags, dan Radio Frequency Identification (RFID). Ia juga turut memberi lebih banyak kebebasan pilihan kepada pengguna untuk memilih mod pembayaran di plaza tol.

Sementelahan itu, satu laporan daripada media tempatan turut merakamkan pelbagai pendapat dan reaksi daripada orang awam. Secara umumnya, ramai menyuarakan pandangan positif tentang sistem SPT dengan menekankan praktikalitinya, fleksibilitinya, dan potensinya untuk meningkatkan pengalaman pembayaran tol yang baik kepada pengguna.

Sebagai contoh, ada yang mengganggap penambahan ini adalah berguna kerana ia membolehkan pengguna menjimatkan masa dan tidak terikat dengan satu jenis kaedah pembayaran serta mencegah situasi di mana kenderaan perlu berundur di plaza tol kerana baki kad Touch ‘n Go tidak mencukupi. Paktikaliti SPT juga turut dihargai kerana pengguna juga boleh menggunakan mod pembayaran Apple Pay yang menambah lagi kepada kemudahan penggunaannya.

Namun begitu, masih ada juga segelintir yang ragu-ragu terhadap penggunaan SPT ini kerana merasakan penggunaan mod pembayaran lain lebih selamat dan hanya melibatkan duit yang ada dalam kad atau e-dompet sahaja berbanding SPT yang melibatkan wang peribadi secara terus daripada akaun bank.

Pelaksanaan SPT dijangka akan mengurangkan kesesakan trafik di plaza tol dan memberikan lebih fleksibiliti kepada pengguna lebuh raya semasa membuat transaksi, kerana mereka tidak perlu lagi risau sekiranya wang baki di dalam kad sedia ada berkurangan. Inovasi ini menawarkan kemudahan kepada pengguna dan berpotensi untuk menjadikan perjalanan di lebuh raya lebih efisien dan mengurangkan kesesakan.

#PrezCom