Kuala Lumpur, 8 Oktober 2023, 3.49 petang – YANG Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata, Ahli Parlimen mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi dan kawasan parlimen yang diwakili. Perkara ini dipandang begitu serius oleh pihaknya dan sedang meneliti tindakan yang perlu diambil termasuk memotong elaun Ahli Parlimen jika mereka terus tidak hadir ketika sesi sidang Parlimen.

Bekas Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mencadangkan supaya Peraturan Mesyuarat perlu dipinda untuk memudahkan cara pelaksanaan. Pada pandangan beliau agak wajar untuk melakukan pindaan kerana pada masa sekarang mereka tidak ada peraturan bermakna Ahli Parlimen tidak ada kekangan untuk ponteng.

Johari berkata, beliau juga sedia untuk meningkatkan ketelusan dengan memuat naik rekod kedatangan Ahli Parlimen dalam laman sesawang Parlimen. Menurut beliau, Ahli Parlimen akan datang dan pergi dengan begitu mudah tanpa memikirkan tanggungjawab dan tugas hakiki mereka. Itu amat tidak adil kepada para pengundi yang memilih mereka untuk menjadi wakil untuk menyuarakan masalah dan pandangan mereka.

Buat masa kini, Johari sedang meneliti dari aspek perundangan sama ada boleh atau tidak untuk melanksanakan langkah itu. Secara peribadi Johari berkata, ia amat wajar dilakukan tetapi beliau periu meneliti makanisme dan undang-undang termasuk Peraturan Mesyuarat sama ada ia dibenarkan atau tidak. Beliau mengatakan perkara tersebut semasa mesyuarat Kelab Concorde pada 6 Oktober 2023 yang lalu.

Johari juga berkata bahawa beliau akan melihat perkara ini dengan lebih serius bagi mengambil langkah untuk meningkatkan kehadiran Ahli Parlimen untuk terus berkerja dan mengambil tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang dipilih untuk menunaikan janji-janji mereka kepada para pengundi dikawasan masing-masing.

Timbalan Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, sudah sampai masanya tindakan pemotongan elaun dilakukan kepada Ahli Parlimen, menteri dan timbalan menteri yang gagal hadir pada sesi persidangan Dewan Rakyat atau lebih sesuai dipanggil ‘ponteng’ sekiranya gagal memberikan alasan yang munasabah.

Sebagai seorang Ahli Parlimen khususnya menteri dan timbalan menteri yang dilantik, seharusnya mereka tahu akan Peraturan Mesyuarat yang memerlukan kehadiran semua Ahli Parlimen disepanjang sidang Dewan Rakyat berlangsung.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menegur Ahli Parlimen termasuk menteri dan timbalan menteri yang selalu tidak hadir sama ada ia bersebab atau tidak. Isu mengenai Dewan Rakyat ‘kosong’ bukan perkara yang baru berlaku dan ianya menjadi perkara biasa kepada Ahli Parlimen dengan alasan sentiasa ada berbagai program yang tidak dapat dielakkan.

Isu Dewan Rakyat ‘kosong’ seakan-akan tidak dipandang serius terutama oleh wakil rakyat daripada kerajaan. Suatu masa dahulu, pernah berlaku apabila Dewan Rakyat yang masih bersidang terpaksa dihentikan seketika susulan kuorum kehadiran tidak mencukupi. Ini amat mengecewakan Yang Dipertua Dewan rakyat kerana perkara ini dianggap tidak penting oleh Ahli Parlimen. Pernah dicadangkan oleh beberapa pihak supaya Dewan Rakyat dibubarkan bagi mencari ahli Parlimen baharu yang berminat menghadiri persidangan itu.

Jika dirujuk kepada Peraturan Mesyuarat 21 (1a), pertanyaan-pertanyaan bolehlah diarahkan kepada menteri berkenaan dengan hal-hal urusan dalam kementerian. Dewan Rakyat berbeza dengan Dewan Negara yang mana hanya menteri dan timbalannya sahaja yang boleh menjawab soalan dikemukakan dan tidak boleh diwakilkan. Adalah wajar sekiranya Dewan Rakyat dibuburkan sekiranya kehadiran Ahli Parlimen didapati masih tidak memuaskan atau teruskan dengan pemotongan elaun Ahli Parlimen yang ternyata ponteng tanpa sebab yang kukuh.

#PrezCom