Kuala Lumpur, 7 Oktober 2023, 10.36 pagi – SEJAK kebelakangan ini, banyak kes rasuah terpapar di akhbar-akhbar tempatan dan diluar negara. Rakyat Malaysia sentiasa diperingatkan tentang bahaya rasuah kepada sesebuah negara dimana kesannya kepada pengamal rasuah amatlah menakutkan apabila mereka berjaya dikesan dan ditangkap. Setiap hari rakyat digemparkan dengan berbagai tangkapan oleh pihak Suruhan Jaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap berbagai lapisan masyarakat tidak kira miskin atau kaya atau golongan peniaga dan ahli politik.

Sebenarnya kumpulan yang mengambil rasuah ini terbahagi kepada 3 golongan.

1. Golongan yang tidak endah langsung dengan undang-undang atau golongan yang tidak makan saman. Golongan ini akan melihat, akan mengambil dan memberi rasuah. Golongan ini dianggap sangat merbahaya kerana akan terus melakukan tanpa berfikir panjang.

2. Golongan ini pun dikategorikan sebagai bahaya kerana hanya memikirkan diri sendiri sahaja. golongan ini bila ditawarkan rasuah, dia lihat, dia tak ambil, tetapi dia tak buat laporan kepada pihak berkuasa. Golongan ini hanya akan menambahkan pelaku rasuah dan akan membuatkan pelaku rasuah lebih berani.

3. Golongan ketiga ini, bila ditawarkan rasuah, dia melihat tetapi tidak ambil dan melaporkan kepada pihak berkuasa. Inilah golongan yang sepatutnya ada apabila ditawarkan rasuah. Melaporkan apabila ia bercanggah dengan undang-undang.

Anak-anak muda dihari ini patut didedahkan dengan bebagai kisah rasuah yang pernah belaku dinegara kita. Perlu dijadikan iktibar supaya tidak terjebak dengan perbuatan durjana ini yang ternyata telah merosakkan negara dan mencalarkan nama baik negara dimata dunia. Para pelajar perlu diberi peringatan tentang buruknya rasuah diminda mereka. Ini kerana mereka merupakan bakal pemimpin negara dimasa hadapan.

Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari.

Projek pembangunan bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah. Golongan pemberi rasuah dan penerima rasuah akan mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan yang lumayan dari projek-projek Pembangunan yang sedang dijalankan.

Rasuah diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat menyiapkan projek dan sebagainya. Para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender. Mereka juga akan berusaha untuk memenangi hati pegawai pengurusan atau pembuat keputusan. Biasanya dari situasi itulah rasuah berlaku.
Bidang politik merupakan bidang yang paling banyak menerbitkan pemberi dan penerima rasuah. Diantara penyebabkan yang berlaku kegiatan rasuah dikalangan mereka adalah, untuk mendapatkan kuasa, memenangi pemilihan jawatan politik, mengumpul kekayaan, menagih populariti dan banyak lagi.

Bakal-bakal pemimpin muda tidak akan mengamalkan rasuah jika mereka dibekalkan dengan ilmu-ilmu agama yang tinggi. Banyak perkara yang perlu diterapkan di dalam minda bakal pemimpin-pemimpin ini jika tidak negara akan hancur dan keluarga juga akan mendapat malu serta diri sendiri akan meringkok di dalam penjara. Tidak terlepas juga iaitu denda berlipat kali ganda dari nilai suapan dan kehilangan harta benda akibat disita oleh pihak berkuasa.

#PrezCom