Kuala Lumpur, 07 Oktober 2023, 11:00 am – BEKAS Ketua PengKesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkongsi satu perkembangan yang menggembirakan bahawa beliau telah kembali Bertugas di Institut Endokrin, Hospital Putrajaya. Berita ini turut dikongsikan melalui akaun Facebook peribadi beliau, yang mana beliau menjelaskan tentang peranan beliau di institut itu yang mana beliau akan menjalankan pembedahan setiap hari Isnin dan memberi konsultasi klinik pada setiap hari Selasa.
Turut berkongsi info tentang Institut Endokrin Hospital Putrajaya, beliau memaklumkan bahawa sebuah bangunan 10 tingkat dengan 220 katil ini telah mempunyai Unit Rawatan Rapi (ICU) khas untuk dewasa (10 katil) dan pesakit kanak-kanak (8 katil), selain juga dilengkapi dengan Bilik Bedah Hibrid yang menggabungkan prosedur Neuro-Endokrin dan empat bilik bedah lain.
Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan harapannya agar Institut Endokrin tersebut dapat memperkukuhkan lagi perkhidmatan perubatan dan pembedahan endokrin di Malaysia, seterusnya berkembang sebagai pusat kecemerlangan di peringkat antarabangsa.
Sebelumnya, turut dilaporkan dalam satu berita tempatan tentang pelantikan beliau sebagai Canselor Universiti Cyberjaya (UoC) mulai 1 Oktober lepas menggantikan Profesor Emeritus Tan Sri Anwar Ali. Dalam laporan tersebut, Dr. Noor Hisham telah menyatakan hasratnya untuk menggunakan peranan sebagai Canselor itu untuk meningkatkan akses kesihatan dan kesaksamaan di rantau ini sambil berkongsi visi dan misi UoC.
Untuk rekod, Tan Sri Dr. Noor Hisham ialah seorang pakar bedah endokrin terkemuka yang memulakan kerjayanya sebagai ketua pembedahan payudara dan endokrin di hospital ini pada tahun 2002 sebelum bersara sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 19 April 2023. Sepanjang kerjayanya selama 35 tahun dalam sektor kesihatan awam, Dr. Noor Hisham memegang jawatan Ketua Pengarah sejak tahun 2013 dan merupakan tokoh penting semasa krisis kesihatan negara ketika pandemik COVID-19.
Selain itu, beliau juga pernah diiktiraf oleh China Global TV Network sebagai antara tiga doktor terbaik dunia yang mengetuai usaha memerangi COVID-19. Kepimpinan beliau yang cemerlang dan pencapaian luar biasa pasukan kesihatan di bawah bimbingannya dalam memerangi virus tersebut menjadikan beliau wira rakyat Malaysia.
Sementara itu, rata-rata netizen menyambut dengan baik dan positif atas kembalinya beliau dalam profesional kesihatan. Malah, ada yang turut meninggalkan komen menunjukkan rasa terharu dan bangga terhadap usaha dan pengorbanan beliau terutamanya ketika pandemik COVID-19.
Mempunyai pakar yang sangat dihormati seperti Tan Sri Dr. Noor Hisham adalah perkembangan positif bagi bidang perubatan Malaysia, dan diharapkan bahawa kepakaran beliau akan memberi sumbangan kepada peningkatan berterusan perkhidmatan kesihatan di negara ini dan di peringkat antarabangsa.
#PrezCom