Kuala Lumpur, 6 Oktober 2023, 10:27 – MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya tidak bercadang untuk meneruskan pemberian diskaun kepada peminjam PTPTN namun ia terpulang kepada Kementerian Kewangan untuk membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu. Susulan pembentangan Bajet 2024 yang bakal dijadualkan pada 13 Oktober ini, Khalid berkata, samada peminjam akan menerima berita gembira atau tidak daripada pembentangan itu, beliau berharap kerajaan akan menyokong permohonan kementerian itu untuk menerap pendigitalan dalam menjayakan, mengurus serta mentadbir ekosistem pendidikan tinggi negara.

Walaupun kos sara hidup didapati makin meningkat dari masa ke semasa, beliau memberi jaminan bahawa yuran pengajian tidak akan dinaikkan. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merupakan antara pembiayaan pendidikan utama yang ada di Malaysia. Sementara itu Angkatan Mahasiswa UM, memohon supaya pihak KPT mengkaji semula cadangan untuk tidak meneruskan pemberian diskaun PTPTN kepada para pelajar kerana ia akan memberi kesan yang negatif kepada para pelajar kerana bimbang pelajar akan berdepan masalah kewangan yang parah di dalam situasi ekonomi tidak menentu ini.

Pengerusi Angkatan Mahasiswa UM, Muhammad Aiman Dhaifullah Dzulkarnain berkata, keputusan kerajaan untuk memansuhkan diskaun bagi peminjam PTPTN adalah langkah yang tidak bijak kerana perkara itu akan menambahkan beban pelajar apabila tamat pengajian nanti. Apabila sudah tamat belajar, pelajar akan mula masuk ke alam pekerjaan. Seandainya gaji mereka sedikit bagaimana untuk membayar PTPTN?” Muhammad Aiman berkata lagi, “Banyak lagi komitmen perlu ditanggung mahasiswa dalam ekonomi yang tidak menentu pada masa ini, dan tindakan terbabit menambah bebanan hutang. Tambahan pula, dengan sektor pekerjaan sangat kompetitif yang tidak menentu pada masa ini, tidak menjanjikan peluang pekerjaan.”

Tindakan ini telah menaikkan kemarahan mahasiswa dan graduan. Beban yang ditanggung oleh kerajaan juga akan bertambah berat. Tiada guna berkempen agar para peminjam melunaskan pinjaman mereka kerana sebelum ini bayaran balik PTPTN telah dipermudahkan dengan adanya diskaun daripada pihak kerajaan. Presiden Majlis Perundingan Pelajar (MPP) Kebangsaan Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi berkata, diskaun pinjaman PTPTN kepada lepasan universiti adalah penting untuk memgurangkan beban hutang lama. Menurut Wan Amsyar, pemberian diskaun untuk membayar hutang PTPTN bukan perkara baru malah ia telah lama dilaksanakan. Beliau memohon supaya kerajaan mempertimbangkan semula tentang pemansuhan diskaun itu dan dimasukkan semula ke dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri tidak lama lagi.

#PrezCom