
Kuala Lumpur, 5 Oktober 2023, 10:45 – BUAT masa kini, kerajaan Malaysia hanya mengeluarkan sebanyak 60 juta peket minyak masak bersubsidi setiap bulan namun ianya tidak terdapat dimana-mana pasaran dan mengikut aduan yang diterima ianya telah habis dijual. Sebagai langkah untuk mengatasi masalah ini, kerajaan telah memperkenalkan satu skim baharu iaitu pengenalan diri khas (ID) dan yang disahkan layak sahaja boleh mendapatkan minyak masak berpeket melalui subsidi bersasar yang dijangka diperkenalkan tahun depan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, tidak akan berlaku penjualan kepada yang tidak layak sekiranya ID ini digunakan. Kerajaan telah menetapkan kumpulan sasar untuk menerima bantuan ini melalui pengesahan ID yang diberi. Fuziah berkata ramai yang bertanya mengapa tidak digunakan Kad Pengenalan (IC) atau MySejahtera sahaja. Fuziah menjawab dengan mengatakan keperluan keluarga tidak sama dengan keperluan peniaga mikro dalam satu kenyataan di Facebook, pada hari Ahad.
Fuziah juga berkata, “Lagi satu ialah golongan T20 tidak layak menerima subsidi minyak masak peket. Maka perlu menggunakan ID yang berbeza.” Beliau menyatakan lagi kerajaan akan melaksanakan kaedah pembelian minyak masak peket kepada kumpulan sasar mulai tahun depan. Kementerian juga akan menambah kira-kira satu juta pengguna dalam kalangan usahawan mikro seperti peniaga ayam goreng, pisang goreng dan keropok lekor dan mana-mana pihak yang didapati layak menerimanya.
Pada 19 Julai 2023, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin menjangkakan berlaku kenaikan harga barang pada bulan Ogos 2023 namun ia hanya membabitkan kenaikan sekitar satu hingga dua peratus sahaja, dan bukannya sehingga 20 peratus seperti yang pernah diramalkan sebelum ini. Sungguh pun begitu, pada pendapat umum, walaupun kenaikan hanya sekitar satu atau dua peratus, ia tetap akan menjadi beban kepada rakyat terutama kepada golongan yang mempunyai ahli keluarga yang besar.
Sudah menjadi kebiasaan di dalam bidang peruncitan di Malaysia, sekiranya berlaku satu kenaikan harga barang maka akan ada kenaikan susulan untuk barangan lain juga. Kenaikan harga barangan asas amat menyakitkan rakyat memandangkan prorata pendapatan rakyat tidak setimpal dengan kenaikan harga barang. Maka itu kerajaan didesak oleh berbagai pihak untuk mengawal harga barangan asas agar ianya tidak dipermainkan oleh kartel atau orang tengah yang hanya ingin mengaut keuntungan diatas angin sahaja.
#PrezCom