Kuala Lumpur, 4 Oktober 2023, 10.37 pagi – MENURUT pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim, rakyat bakal kehilangan kuasa dalam berbelanja terutama golongan berpendapatan sederhana (M40) akibat dari kejatuhan nilai ringgit. Golongan ini mungkin terpaksa mengubah perancangan kewangan mereka kerana wang simpanan akan menyusut sehingga ada yang terpaksa melakukan lebih dari satu kerja bagi menambah pendapatan.
Kejatuhan nilai ringgit sehingga melepasi paras RM4.70 pada ketika ini adalah berdasarkan faktor global seperti pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS). Perkara ini telah memberi kesan bukan sahaja kepada Malaysia malah kepada seluruh dunia terutama kepada negara-negara yang bergantung sepenuhnya kepada Amerika Syarikat dalam hubungan perdagangan.
Oleh itu, kerajaan diminta supaya mengambil langkah intervensi yang komprehensif bagi menoktahkan kemelut ekonomi yang melanda negara ini, terutamanya bagi golongan M40 kerana sebahagiannya tidak menerima subsidi. Golongan M40 kini berada di dalam fasa keresahan kerana berbagai subsidi tidak dapat diperolehi kerana kerajaan hanya memberi tumpuan kepada B40.
Pada 27 September yang lepas, sebuah badan penganalisa iaitu Kenanga Research berpendapat,sebahagian golongan berpendapatan pertengahan atau M40 mungkin tidak lagi mendapat subsidi bahan api dengan pelaksanaan subsidi bahan api bersasar nanti. Menurut penganalisisnya, Cheow Ming Liang, kerajaan dijangka akan menggantikan subsidi bahan api pukal yang sedia ada dan perkara itu akan dibentangkan di dalam Belanjawan 2024 di Parlimen pada 13 Oktober 2023. Subsidi baru ini berkemungkinan akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2024.
Keputusan ini dibuat memandangkan subsidi yang digunakan selama ini telah memberi manfaat kepada golongan berpendapatan tinggi yang lebih kaya. Subsidi bahan api yang sedia ada dipercayai telah digunakan dengan nilai 35 peratus dari 77.3 billion kepada golongan yang mewah iaitu T20. Kerajaan telah berhasrat untuk mengenal pasti penerima menggunakan kriteria ‘pendapatan boleh guna bersih’, yang bertujuan untuk mengecualikan sebahagian besar demografi T20. Dengan adanya Pengkalan Data Utama (PADU) yang baharu dipercayai mampu mengintegrasikan data daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan1, Datuk Seri Ahmad Maslan dipetik sebagai berkata, 17 billion mampu dijimatkan oleh kerajaan sekiranya golongan T20 tidak diberikan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).
#PrezCom