Kuala Lumpur, 4 Oktober 2023, 17:00 – KEKECOHAN terjadi dalam satu insiden tembakan di Siam Paragon Mall, Bangkok, Thailand petang semalam. Tunku Mahkota Johor Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail bersama-sama ahli keluarga, pasukan keselamatan dan pegawainya yang turut berada di lokasi kejadian, telah berkongsi detik cemas dan panik tersebut melalui laman Facebook HRH Crown Prince of Johor.
Tunku Ismail pada ketika itu berada di lobi sebuah hotel berhampiran Siam Paragon Mall bersama-sama pasukan keselamatannya bergegas ke ruang bawah tanah bagi mencari perlindungan di lokasi yang selamat di dalam bangunan. Baginda berkongsi bahawa keutamaannya pada ketika itu adalah menjaga keselamatan keluarga dan pasukannya, sehingga membuatkan mereka berani membina perisai manusia dengan cara berdiri di hadapan anak-anak dan keluarga baginda.
Diberitakan bahawa Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda turut menunjukkan rasa cemas. Pada masa kejadian, Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar telah menenangkan anak-anaknya yang menangis dan ketakutan serta meyakinkan mereka bahawa segala-galanya akan baik kerana ibu bapa mereka ada bersama mereka. Kemudian, mereka menyusun pengangkutan untuk membawa mereka ke Kedutaan Singapura yang lebih dekat atas nasihat pemandu baginda dengan bantuan Konsul Jeneral Singapura di Johor. Baginda telah menghubungi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, untuk melaporkan situasi tersebut serta melaporkan bahawa Duta Malaysia di Thailand juga ada bersama mereka.
Susulan kejadian itu, kompleks membeli belah tersebut telah ditutup dan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun telah ditahan dipercayai adalah suspek bagi kejadian tersebut. Menurut laporan media, remaja tersebut adalah pelajar sekolah swasta yang mengalami masalah mental dan tidak mengambil ubatnya. Turut dilaporkan, kejadian ini telah mengorbankan 2 nyawa melibatkan seorang warga China dan seorang lagi warga Myanmar, serta lima lagi pengunjung cedera terdiri daripada seorang warga Laos, seorang warga China dan tiga warganegara tempatan.
Pada hari yang sama, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, telah melawat tempat insiden serta menyatakan janjinya untuk mengambil semua langkah yang diperlukan bagi memastikan keselamatan pelancong asing, terutamanya susulan insiden tragis tembakan di Siam Paragon Mall tersebut. Sehubungan itu juga, agensi kerajaan termasuk polis, Kementerian Pelancongan, Kementerian Luar, dan Kementerian Kesihatan Awam, telah diarahkan untuk menyiasat punca kejadian dan membangunkan langkah-langkah untuk mencegah kejadian serupa daripada berulang pada masa hadapan. Kerajaan Thailand bertekad untuk melaksanakan standard keselamatan tertinggi demi keselamatan semua pelancong.
Walaupun terlepas menonton perlawanan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail mengucapkan rasa syukur atas keselamatan keluarga dan pasukannya. Baginda merujuk kejadian ini sebagai pengalaman terburuk yang pernah dihadapinya dan berterima kasih kepada pasukan keselamatan dari Singapura dan Malaysia atas bantuan dan sokongan mereka ketika menghadapi saat-saat getir.
#PrezCom