Kuala Lumpur, 3 Oktober 2023, 2.57 petang – Kehidupan rakyat Malaysia semejak kebelakangan ini nampak begitu terdesak dengan dihimpit berbagai masalah. Diantara perkara buruk yang sering berlaku apabila terdesak adalah, bunuh diri, membunuh dan merompak. Semua ini berlaku akibat terdesak dan didesak oleh tekanan perasaan yang parah dan tidak menemui jalan keluar dari masalah yang dihadapi. Mempunyai tanggungan yang banyak atau sedikit merupakan punca kepada desakan seseorang untuk bertindak mencari keperluan bagi memenuhi tuntutan tanggungan dari individu yang bergelar suami atau ketua keluarga. Rakyat yang dilaporkan miskin semakin meningkat akibat kehilangan atau pengurangan pedapatan atau gaji.
Sebanyak 100,000 perniagaan telah menghentikan operasi sejak tahun lalu sehingga sekarang. Ini adalah berdasarkan laporan daripada Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA). Pada tahun 2020, lebih daripada 32,000 majikan terpaksa mengambil keputusan gulung tikar dan lebih 107,000 individu diberhentikan kerja. Jika dahulu rakyat mencuri barang elektrik atau barangan bernilai tinggi untuk mendapatkan wang, tetapi sekarang kes kecurian sudah berubah apabila seseorang individu itu mencuri untuk mengisi perut anak-anak dan isteri.
Tidak hairanlah rakyat pada masa ini terpaksa ikat perut demi kelangsungan hidup, malah lebih perit lagi ada yang terpaksa mencuri di pasar raya. Tidak pelik jika ada kes individu dicekup di pasar raya kerana didapati mencuri ikan dan sayuran.Mencuri bukan lagi sebagai hobi atau tabiat, tetapi untuk menyambung kehidupan agar tidak terus kelaparan. Begitu terdesak kehidupan rakyat sejak akhir-akhir ini. Adakah pentadbiran negara sedar akan perkara yang melanda rakyat sekarang?
Krisis kemasyarakatan ini amat menyedihkan kerana begitu ketara sekali rakyat terdesak untuk meneruskan kelangsungan hingga terpaksa melakukan perkara terlarang dari sudut agama dan duniwi. Kes kecurian barangan keperluan seperti susu bayi, gula, tepung, roti, minyak masak peket, sayur dan ikan serta barangan lain bukan saja berlaku dipasaraya besar malah berlaku juga di kedai-kedai runcit, kedai 24 jam seperti 7E, My News dan rangkaian Speed Mart serta premis peruncitan yang lain.
Pada 3 April lalu, seorang lelaki dikehendaki polis kerana terlibat dalam kes kecurian sekampit beras dan susu selepas memecah masuk sebuah kedai makan di Kota Tinggi, Johor. Turut tular pada 20 Januari lalu, seorang suri rumah mencuri ubat-ubatan dan makanan untuk anaknya yang sakit dalam kejadian di sebuah pasar raya di Selangor. Kes kecurian tersebut mendapat perhatian Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Nik Ezanee Mohd Faisal (jawatan sekarang Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor) yang turun padang bertemu dengan wanita tersebut untuk menghulurkan sumbangan.
Meskipun hidup dalam kesempitan, masih ada saluran untuk memohon bantuan untuk meringankan beban menerusi agensi berkaitan seperti pusat zakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik.Kerajaan diharap memandang serius perkara ini dan jangan biarkan rakyat terus menderita akibat kesempitan disebabkan ekonomi tidak menentu. Bagaimanapun, sebagai umat Islam kita kena berpegang bahawa mencuri adalah satu kesalahan dan berhak mendapat hukuman jika disabitkan kesalahan, selain mengelakkan orang lain mencontohinya.Kita tidak mahu mencuri ini menjadi trend dalam masyarakat melakukan jenayah atas alasan kesempitan hidup atau desakan hidup.
#PrezCom