Pelaksanaan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan

Kuala Lumpur, 3 Oktober 2023, 18:04 – JAWATANKUASA Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat akan diaktifkan oleh NADMA apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) terkini menunjukkan 1 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik dan 56 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana. 11 stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat pada hari ini iaitu di:

1. Batu Muda, W.P. KUALA LUMPUR (IPU 116)
2. Cheras, W.P. KUALA LUMPUR (IPU 160)
3. Putrajaya, W.P. PUTRAJAYA (IPU 153)
4. Petaling Jaya, SELANGOR (IPU 154)
5. Shah Alam, SELANGOR (IPU 154)
6. Klang, SELANGOR (IPU 107)
7. Banting, SELANGOR (IPU 155)
8. Nilai, NEGERI SEMBILAN (IPU 161)
9. Seremban, NEGERI SEMBILAN (IPU 156)
10.Port Dickson, NEGERI SEMBILAN (IPU 152)
11.Johan Setia, SELANGOR (IPU 144)

Pengemaskinian Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dilaksanakan dengan tujuan mempercepatkan tindakan yang perlu diambil agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu, kata Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

“Selain itu, semua aktiviti di luar bilik darjah dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100. Sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200. Bagi tujuan ini, pihak sekolah, tadika dan taska dikehendaki sentiasa memantau bacaan IPU. Sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan ke arah 200 persediaan perlu dilaksanakan untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang berkenaan. Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilakukan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai pada bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Bagi menangani situasi berjerebu di dalam negara, Kementerian dan setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu sedang mempertingkatkan usaha-usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi menyebabkan jerebu di peringkat tempatan. Antara tindakan menghadapi jerebu adalah berdasarkan kepada Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK). Pelan ini mengandungi tindakan-tindakan yang spesifik yang perlu diambil oleh setiap agensi berpandukan kepada tahap amaran tertentu yang ditetapkan mengikut status kualiti udara iaitu bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan petunjuk kepada kesihatan awam. Pelan tindakan ini dikemaskini pada tahun 2002, 2006, 2012 dan 2013. Pengemaskinian Pelan terkini adalah pada tahun 2018 dengan mengambil kira kemasukan parameter PM2.5 dalam bacaan IPU negara.

Pengemaskinian Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan adalah untuk mempercepatkan tindakan yang perlu diambil oleh agensi. Antara tindakan agensi yang perlu dilaksanakan adalah:

(i) NADMA akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah/negeri/pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam;
(ii) menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah apabila bacaan IPU melebihi 100;
(iii) sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200. Bagi tujuan ini, pihak sekolah, tadika dan taska dikehendaki sentiasa memantau bacaan IPU. Sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan ke arah 200 persediaan perlu dilaksanakan untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang berkenaan; dan
(iv) Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilakukan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai pada bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam.

Sehubungan itu, JAS bersama Kementerian dan setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu akan sentiasa bertindak dengan lebih cepat dan responsif di atas tindakan-tindakan seperti yang disenaraikan di dalam pengemaskinian PTJK.

#PrezCom