Kuala Lumpur, 02 Oktober 2023, 09:45 – PRESIDEN Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, penjawat awam berkorban untuk negara, mereka mengabdikan diri lebih 30 tahun dengan skim pencen yang kecil tiba-tiba diberitahu akan cadangan tentang skim pencen hendak dihapuskan pula. Bukankah itu sesuatu yang amat menyedihkan?
Cadangan menghapus atau membatalkan kemudahan pencen yang dinikmati penjawat awam di negara ini pada masa hadapan tidak wajar dilakukan. Skim pencen yang menjadi keistimewaan kepada penjawat awam tidak wajar dilihat sebagai beban kerajaan kerana ia adalah pengiktirafan terhadap sumbangan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan dan bakti mereka kepada negara.
Adnan berkata, Cuepacs dan penjawat awam tidak pernah cemburu atau mempertikaikan pencen yang diterima mana-mana Ahli Yang Berhormat. Ada dalam kalangan Ahli Yang Berhormat menerima lebih daripada dua pencen walaupun tempoh perkhidmatan mereka sangat singkat jika dibandingkan dengan penjawat awam yang berkhidmat melebihi 30 tahun. “Semasa di dalam tempoh berkhidmat, gaji penjawat awam tidak tinggi dan ketika sudah berpencen ada dalam kalangan penjawat awam yang hanya menerima pencen bulanan sebanyak RM1000 sahaja. Mengapa masih ada yang mahu mempertikaikan jumlah pencen yang serendah itu?” tambahnya dengan tegas.
Menurut Adnan lagi, jika mahu menjimatkan wang kerajaan, Ahli Yang Berhormat yang menerima dua pencen hanya mengambil satu pencen sahaja iaitu jumlah yang tertinggi. Beliau menambah lagi dengan mengatakan, Cuepacs berpendirian tidak akan berkompromi dengan sebarang cadangan untuk mengurangkan keistimewaan sedia ada yang dimiliki oleh penjawat awam ketika ini termasuk hal pencen.
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam podcast Keluar Sekejap bersetuju dengan cadangan membatalkan pencen Ahli Parlimen dan beliau juga mencadangkan pencen penjawat awam turut dihapuskan bagi mengimbangi fiskal negara kerana kerajaan mungkin menanggung sehingga RM50 bilion untuk pencen penjawat awam dalam masa 10 tahun akan datang sekiranya tidak dimansuhkan.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan turut bersetuju dengan cadangan memansuhkan pencen untuk semua menteri dan Ahli Parlimen serta dimasukkan ke skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti rakyat biasa. Persoalannya disini, mengapa Ahli Parlimen bersungguh-sungguh untuk mencampuri hal pencen penjawat awam? Jika dibandingkan jasa dan khidmat penjawat awam dan Ahli Parlimen adalah sangat jauh berbeza dari segi masa mereka bakti.
Pencen untuk penjawat awam adalah talian hayat untuk meneruskan kehidupan selepas bersara. Seandainya skim pencen mahu dihapuskan, tidak salah jika penjawat awam dan rakyat bangun untuk menunjukkan kemarahan kerana pendapatan hari tua mereka yang sangat sedikit telah diganggu dan dicadangkan untuk dihapuskan.
#PrezCom