Kuala Lumpur, 02 Oktober 2023, 10:00 – RASA bangga terhadap anak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading mungkin menjadi penyebab mengapa sebuah keluarga yang jauh datang dari Sarawak sanggup bersusah-payah tiba ke Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Melalui satu video yang dipaparkan di akaun Instagram @umpsamalaysia baru-baru ini, tular sekeluarga yang berjalan kaki di tengah-tengah panas terik menuju ke pintu masuk utama institusi tersebut pada hari Sabtu lepas.
Difahamkan melalui penerangan di dalam video tersebut juga, pada asalnya pihak UMPSA menyangkakan bahawa mereka terpaksa berjalan kaki akibat kereta rosak, namun setelah diberitahu rupa-rupanya sekeluarga itu tiba di situ menaiki bas dan meneruskan perjalanan ke pintu masuk UMPSA dengan berjalan kaki sahaja. Sebaik mendengarkan tentang keadaan itu, pihak UMPSA dengan segera mendapatkan kenderaan untuk dinaiki pihak keluarga terbabit bagi memudahkan urusan mereka.
Memetik kapsyen dari video tersebut, “Dari jauh nampak satu keluarga jalan kaki tengah-tengah panas ingatkan kereta rosak. Sedihnya tengok, panas-panas jalan kaki di saat yang lain naik kereta.”
“Bila ditanya, katanya mereka datang dari Sarawak naik bas nak hantar anak masuk UMPSA.”
“Pihak UMPSA bergegas carikan kereta untuk mereka masuk ke dalam kampus.”
“Hebatnya kasih ayah dan ibu, teman anak masuk universiti,’’ katanya.
Sementara itu, melalui ruangan komen, rata-rata netizen menunjukkan rasa terharu, bangga dan tersentuh dengan tindakan keluarga tersebut. Ada juga yang turut mendoakan kejayaan buat pelajar tersebut dan menasihati pelajar itu untuk membalas budi keluarganya apabila telah berjaya kelak.
Video berdurasi 1 minit 13 saat itu telah tular ke hampir semua platform media sosial termasuklah TikTok dan telah berjaya meraih lebih 45,000 tanda suka, dikongsi lebih 3,000 kali dengan lebih 2,800 komen.
#PrezCom