
Kuala Lumpur, 02 Oktober 2023, 14:26 – BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, barisan Ahli Kabinet Kerajaan Perpaduan sekarang bukanlah anggota Kabinet yang hebat. Beliau menyarankan supaya barisan Kabinet baru perlu diwujudkan dan perlu membuktikan bahawa mereka adalah ahli Kabinet yang baik dan berkualiti serta berkebolehan dalam mentadbir negara.
Walau bagaimanapun Tun Mahathir tidak mahu menyebut nama-nama ahli-ahli Kabinet yang tidak mempersembahkan tugas-tugas mereka dengan baik. Dalam sesi soal jawab di dalam siri ketiga Minggu Negarawan, Tun Mahathir berkata, “Seluruh Kabinet perlu dirombak. Mereka perlu tunjuk kebolehan. (Siapa yang tidak boleh buat kerja?) Saya tak berani cakap. Sebab itu dalam akhbar hari ini diceritakan bahawa Datuk Seri Anwar akan bubar Kabinetnya dan akan pilih Kabinet Baharu,” katanya.
Tun juga berkata, “Ada ahli Kabinet yang takut untuk berjumpa pelabur. Bagaimana untuk tarik pelabur jika takut untuk berhadapan dengan pelabur? Beliau turut mengimbas apa yang tercatat di dalam akhbar yang menyatakan ‘pilihlah menteri yang hebat’, bermaksud akhbar juga bagaikan mengakui bahawa menteri Kabinet yang ada sekarang tidak hebat di dalam melakukan pekerjaan mereka. Menteri yang ada tidak mampu jadi menteri. Sebab itu banyak kesalahan berlaku,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rombakan Kabinet bukan perkara mendesak kerana terdapat hanya satu kekosongan jawatan yang perlu diisi iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sebelum ini disandang oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub. Sebelum itu, media melaporkan kemungkinan berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat yang melibatkan beberapa kementerian serta dakwaan rombakan itu hanya akan dilakukan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai pada 7 Oktober ini.
#PrezCom