Kuala Lumpur, 1 Oktober 2023, 16:50 – SATU kejadian mencederakan seorang wanita telah berlaku di sebuah premis dobi layan diri berhampiran Kem Sri Pantai, Seberang Takir Kuala Terengganu pada jam 3 petang semalam. Wanita yang berusia dalam lingkungan 30-an itu, dipercayai ditikam dengan satu objek tajam di bahagian belakangnya. Kes masih di dalam siasatan termasuk cuba untuk mendapatkan kenyataan sekiranya ada saksi yang berhampiran untuk membantu siasatan berhubungan perkara tersebut.
Menurut seorang pekerja kedai serbaneka yang bersebelahan dengan premis dobi tersebut menyatakan terdapat seorang lelaki yang berusia dalam 20-an yang menaiki kereta Proton Wira berwarna kelabu dilihat berada di depan premis itu selama lebih kurang 2 jam. Apabila melihat wanita yang juga mangsa, masuk ke dalam premis dobi itu, lelaki yang juga suspek didalam kejadian ini terus masuk ke dalam premis tersebut.
Dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mangsa dilihat bergelut dengan suspek dan kelihatan suspek memukul mangsa yang cuba melawan dengan menggunakan kaki dan tangan. Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, mangsa telah ditikam dengan menggunakan gunting dan ia berkemungkinan adalah kes samun.
Suspek telah pun melarikan diri setelah menyerang mangsa dengan meninggalkannya didalam keadaan yang amat sakit. Menurut Wan Zaki, suspek dipercayai masih bersembunyi di kawasan tertentu selepas melarikan diri. Mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan masih menerima rawatan namun berada dalam keadaan stabil. Wan Zaki berkata, suspek dipercayai berasal dari Kampung Telaga Daing, Seberang Takir Kuala Terengganu. Kes disiasat mengikut Seksyen 324/393 Kanun Keseksaan.
#PrezCom