Kuala Lumpur, 1 Oktober 2023, 10:33 – TIMBALAN Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Kelantan, Nazili Kadir mengingatkan orang ramai supaya tidak bersekongkol menyewakan kenderaan kepada warga asing dengan tujuan mengaut keuntungan. Ini kerana pemilik asal kenderaan boleh dikenakan hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.
Perkara ini dibangkitkan oleh Nazli kerana bimbang sekiranya warga asing yang memandu kenderaan tanpa ada lesen yang sah kemudian terlibat dengan kemalangan, ia akan menyukarkan proses tuntutan insuran oleh pemilik asal kenderaan tersebut. Majoriti warga asing tidak memahami undang-undang serta membahayakan pengguna jalan raya lain bila memandu tanpa lesen.
Bermula 1 September yang lepas, JPJ negeri Kelantan telah menyita 422 kenderaan termasuk motosikal dan kereta yang dipandu oleh warga asing menerusi sekatan jalanraya yang dinamakan ‘Operasi Khas Motosikal’ di seluruh negeri itu. Menurut Nazli daripada 422 kenderaan yang terlibat, motosikal merupakan kenderaan yang paling banyak disita oleh JPJ sepanjang operasi itu.
“Kebanyakan kenderaan ini digunakan oleh etnik Rohingya. Kita mengambil serius perkara ini dengan melaksanakan operasi secara berkala. Walau bagaimanapun, penggunaan kenderaan dalam kalangan warga asing di negeri ini secara tidak sah masih lagi terkawal,” katanya lagi.
Menurut Nazili, sepanjang operasi itu sebanyak 14,163 kenderaan telah diperiksa oleh JPJ Kelantan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 5,015 keping saman telah dikeluarkan kepada individu yang didapati melakukan kesalahan. Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar pada Operasi Khas Motosikal JPJ Kelantan di Stesen Timbang JPJ Machang, Labok di sini pada malam hari Rabu yang lepas.
#Prezcom