Kuala Lumpur, 30 September 2023, 18:18 – KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan ancaman pandemik besar yang digelar Penyakit X. Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataannya selepas Majlis Penyerahan Projek Kompleks Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Wad Tambahan Hospital Kuala Lumpur (HKL) Isnin lalu menegaskan bahawa Malaysia sentiasa memantau penyakit-penyakit baru yang mungkin berpotensi menjadi pandemik di masa hadapan.

Beliau berkata, “Di peringkat WHO kalau ada, sudah tentu mereka juga memberikan amaran kepada negara-negara berkenaan. Di peringkat Malaysia, memang sentiasa memantau jika ada penyakit-penyakit baru atau yang mungkin boleh menyebabkan pandemik di masa hadapan.”

Sebagai penerangan ringkas, Penyakit X adalah istilah yang digunakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengklasifikasikan jenis virus atau patogen yang berpotensi menyebabkan pandemik pada masa depan. Ia adalah ancaman global yang tidak terikat dengan mana-mana negara tertentu. Namun, ia diistilahkan sebagai “X” kerana ketidakpastian terhadap apa-apa maklumat yang sahih mengenainya.

Sehubungan itu, satu kebimbangan terhadap Penyakit X ini boleh timbul ekoran trauma yang mungkin tercetus berpunca daripada pengalaman menghadapi wabak Covid-19 yang telah menular sebelum ini. Lebih-lebih lagi apabila satu kenyataan daripada Ketua Pasukan Petugas Vaksin United Kingdom (UK), Dame Kate Bingham telah memberikan amaran bahawa Penyakit X ini boleh menjadi lebih dahsyat dan membahayakan jutaan nyawa berbanding Covid-19 sekiranya tidak dibendung dari awal.

Memetik terjemahan Bingham menerusi laporan Daily Mail berkata, “Penyakit X juga berkemungkinan mempunyai kapasiti untuk mengakibatkan kematian 20 kali ganda lebih tinggi berbanding Covid-19 dengan anggaran kira-kira 50 juta kes meragut nyawa. Setakat ini, seramai hampir 7 juta individu di seluruh dunia mati akibat Covid-19. Bayangkan cara Penyakit X berjangkit seperti penyakit campak dan boleh mencecah kadar kematian seperti penyakit Ebola pada kadar 67 peratus. Di suatu tempat di dunia, ia kini sedang mereplikasi, dan akhirnya lambat laun, seseorang akan mula mengalami sakit (akibat Penyakit X),” ujarnya.

Justeru itu, kesediaan Malaysia dalam menghadapi ancaman Penyakit X adalah penting. Melalui pantauan dan kesiapsiagaan KKM serta kerjasama lain-lain pihak untuk bertindak balas terhadap penyakit baharu yang berpotensi mencetuskan pandemik ini, Malaysia mampu memelihara keamanan dan kesihatan warga penduduknya. Selain itu, pengalaman yang diperolehi ketika dunia bersama-sama memerangi pandemik Covid-19 dahulu boleh diguna dan ditambah-baik lagi sebagai persediaan tersebut. Sebagai contoh, kerjasama global dalam perkongsian maklumat, usaha penyelidikan antarabangsa dan pembangunan vaksin serta pemberian vaksinasi besar-besaran boleh dirancang sejak dari awal. Juga, peruntukan sumber yang mencukupi juga adalah kunci persediaan untuk melawan ancaman ini.

Sebagai tambahan, kepentingan kesihatan mental baik dalam kalangan petugas barisan hadapan, orang awam mahupun agensi bukan kerajaan hendaklah sentiasa menjadi keutamaan persediaan itu juga. Sebagai maklum balas bagi isu penjagaan kesihatan mental ketika berlaku krisis atau bencana ini, Dr Zaliha Mustafa telah menerangkan bahawa satu Unit khas telah disediakan untuk memberi bantuan dan khidmat kaunseling kepada petugas kesihatan yang menghadapi tekanan di tempat kerja. Manakala, orang awam pula boleh menghubungi Talian HEAL 15555 atau Talian KASIH 15999 bagi bantuan awal krisis kesihatan mental.

#PrezCom