Aset TH akan dipulangkan

Kuala Lumpur, 29 September 2023, 19:31 – Kerajaan akan memulakan perbincangan bagi menyerahkan semula sebahagian aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang sebelum ini dipindahkan ke sebuah syarikat tujuan khas (SPV) dimiliki Kementerian Kewangan pada 2018, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata, pertimbangan itu dibuat setelah meneliti laporan awal serta melihat TH kembali diurus dengan baik, peningkatan keyakinan pendeposit, serta pengurusan cekap dan berintegiriti oleh kepimpinan baharu institusi pengurusan haji negara itu.

“Sekarang dengan pengurusan baru lebih cekap dan dapat beri keyakinan dan pengurusan lebih mantap jadi Kementerian Kewangan sedang berunding memindahkan semula aset dipegang Kementerian Kewangan kepada TH,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji, di Menara TH, di sini, pada Jumaat. Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Azman Mokhtar.

Pada sidang media selepas itu, Perdana Menteri berkata, rundingan berkaitan pemindahan semula aset berkenaan akan melibatkan kesemua aset yang telah dipegang SPV sebelum ini, dan penyerahannya akan dilakukan secara berperingkat. Katanya, pemindahan aset yang dipegang sementara oleh Kementerian Kewangan adalah bagi memulihkan semula keyakinan kepada TH termasuk menangkis pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerangka besar mengenainya akan disampaikan di parlimen pada November ini dan jika tidak sempat ia dijangka akan dibentangkan tahun depan. Sementara itu, beliau berkata, kerajaan juga akan meminda Akta Tabung Haji (TH) bagi menambahbaik pengurusan dan kecekapan organisasi. Tambahnya, kerajaan mahu terus melihat TH terus berkembang sihat dan fokus dalam melaksanakan mandat umat Islam negara.

TH mempunyai hampir sembilan juta pendeposit serta 123 cawangan dengan lebih 10,000 touch-points di seluruh negara dan mempunyai sebuah pejabat yang beroperasi di Jeddah, Arab Saudi di bawah Konsulat Malaysia.

#PrezCom