Kuala Lumpur, 29 September 2023, 08.05 – TUJUH (7) sekeluarga terpaksa mengamalkan cara hidup yang berlainan daripada biasa dengan hanya memakan lempeng setiap hari kerana ingin menjimatkan beras yang ada di dalam simpanan mereka. Memandangkan harga beras yang semakin mahal, mereka sekeluarga mengambil keputusan untuk menjamah nasi sekali sehari bagi menjimatkan belanja membeli beras. Tabiat pemakanan mereka agak berlainan daripada biasa kerana ingin menjimatkan perbelanjaan harian. Pada masa kini agak susah melihat beras tempatan yang murah seperti dahulu dan harganya semakin mahal di pasaran.

Mereka sekeluarga hanya memakan lepeng bercecahkan sambal atau sardin bagi menggantikan makanan ruji yang biasa diambil sebelum ini. Biasanya mereka memakan nasi 2 kali sehari dengan anggaran satu kilogram beras atau secara purata kos antara RM96 hingga RM120 untuk membeli 30 kilogram beras. Sungguh menyedihkan dengan apa yang berlaku di dalam negara kita sekarang.

Ketiadaan beras tempatan terus menjadi bualan rakyat setiap hari dan masalah rungutan ini dibimbangi akan menjadi sesuatu yang diluar jangkaan seperti tunjuk perasaan atau perhimpunan bantahan yang mempersoalkan kemampuan kerajaan dalam menyediakan keperluan asas kepada rakyat. Perkara ini perlu dipandang serius oleh kerajaan dan perlu disegerakan untuk mencari penyelesaian mengenai isu beras yang menjadi makanan utama rakyat Malaysia ini.

Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihak pengilang dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga diarah menghantar bekalan di mana-mana lokasi yang berlaku kekurangan. Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi memastikan beras tempatan tidak dimanipulasi sebagai beras import. Susulan daripada perkara itu, kementeriannya telah mengadakan sesi dialog bersama pengilang dan pemborong di Kedah baru-baru ini dan mereka berjanji akan mematuhi perkara-perkara dan dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Mohamad Sabu berkata, tindakan tegas akan diambil jika terbukti adanya kegiatan menyorok dan menukar label di plastik beras tempatan semata-mata untuk mencari keuntungan. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Jualan Mega Agro Madani Peringkat Kebangsaan di Dataran Sejarah Ayer Keroh pada awal bulan September yang lalu.

#PrezCom