Kuala Lumpur, 29 September 2023, 18:45 – BERMULA 1 November 2023, caj transaksi akan dikenakan kepada vendor bagi penggunaan transaksi kod DuitNow QR. Menurut laporan daripada berita tempatan Malaysia Now, satu emel daripada sebuah bank telah menyatakan bahawa perniagaan yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow kini akan dikenakan caj transaksi bermula 1 November ini. RHB Reflex juga mengesahkan bahawa caj sebanyak 0.25% nilai transaksi dikenakan kepada penjual jika pembayaran dibuat daripada akaun simpanan atau semasa, manakala 0.50% caj pula dikenakan bagi transaksi kad kredit.

Sebagai maklum balas kepada kenyataan berita tersebut, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) telah mengesahkan kebenaran tentang bayaran transaksi kepada vendor untuk pembayaran yang diterima melalui platform kod QR DuitNow mulai 1 November tersebut. Namun begitu, bagi memperjelas isu tersebut, PayNet menyatakan bahawa yang sebenarnya terdapat dua jenis e-pembayaran yang terlibat iaitu kadar diskaun peniaga (MDR) dan yuran 50 sen untuk transaksi melebihi RM5,000. MDR ialah bayaran yang dibayar oleh peniaga untuk menerima pembayaran kad manakala, bagi yuran 50 sen itu pula adalah untuk pemindahan dana peer-to-peer dan tidak berkaitan dengan pembayaran pedagang. Juga, kedua-dua jenis pembayaran ini bukanlah suatu caj baharu atau caj tambahan yang dikenakan kepada vendor. Ia telah lama berkuatkuasa namun pada tahun 2019, MDR telah diketepikan (waive) sebagai insentif dalam usaha untuk memperkenal dan menggalakkan penggunaan pembayaran QR.

Memetik terjemahan kenyataan PayNet berkata, “Penepian ini dilanjutkan lagi berikutan pandemik Covid-19. Kedua-dua bayaran (MDR dan 50 sen) tidak akan dikenakan untuk transaksi yang sama dalam apa jua keadaan, adalah tidak tepat untuk menyatakan bahawa bayaran 50 sen dikenakan untuk pembayaran yang dibuat kepada peniaga. Ia juga tidak betul untuk mendakwa bahawa MDR dicaj untuk pemindahan dana menggunakan kod QR peribadi. Produk dan perkhidmatan yang dibeli dengan kad kredit atau debit adalah harga yang sama seperti pembelian tunai. Oleh itu, kami mengharapkan pertimbangan yang sama dan tidak menjangkakan bahawa harga barangan dan perkhidmatan akan terjejas oleh pembayaran DuitNow QR selepas pengenaan MDR,” jelasnya lagi.

Pembayaran dengan Kod QR pada masa kini amat terkait dengan perkembangan arus teknologi terkini yang juga telah mengubah cara sesuatu urus niaga itu dilakukan. Kini, urusan pembayaran menjadi lebih cepat dan mudah melalui transaksi digital justeru itulah mengapa ia menjadi pilihan banyak peniaga-peniaga untuk menawarkannya di premis mereka.

#PrezCom