Kuala Lumpur, 29 September 2023, 12.58 – MENURUT Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), purata gaji dan upah bulanan di Malaysia meningkat sebanyak 5.8% kepada RM3212 berbanding RM3037 pada 2021, sementara penengah gaji pula berada pada RM2424 meningkat kepada 7.7% daripada RM2250 tahun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pada 2022 ekonomi global akan berdepan cabaran yang ketara. Cabaran yang dimaksudkan itu adalah termasuk gangguan rantaian bekalan, lonjakan harga komoditi, krisis tenaga dan kadar inflasi yang tinggi. Sungguh pun begitu, Malaysia mencatitkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberansangkan dengan kenaikan sebanyak 8.7% didorong oleh prestasi kukuh dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan yang menyumbang 82.4% kepada KDNK negara.

Namun begitu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) dalam Laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013, telah pun memperakui bahawa majoriti pekerja di Malaysia menerima gaji dan upah yang rendah. Keadaan ini menyebabkan simpanan persaraan penduduk juga menjadi rendah. Bersandarkan kepada purata jangka hayat di Malaysia ialah 72.6 tahun bagi lelaki dan 77.2 bagi wanita (purata jangka hayat semasa laporan dibuat), pihak UNDP menjangkakan pesara di Malaysia hanya mampu menjalani satu kehidupan asas untuk sekitar 1.8 – 4.6 tahun sahaja dengan wang simpanan yang ada selepas persaraan mereka.

Manakala untuk tempoh lebih 10 tahun berikutnya pihak UNDP meramalkan majoriti penduduk Malaysia tidak akan mempunyai sebarang simpanan bagi menyara kehidupan mereka. Hal yang didedahkan oleh pihak UNDP ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana pada 2013, secara keseluruhan, 76.8% atau lebih tiga perempat pencarum KWSP berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan dan daripada jumlah keseluruhan pencarum aktif, 2.1 juta atau 1/3 menerima gaji kurang dari RM1000 sahaja sebulan.

Menurut Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), jika gaji minimum diukur dan dikaitkan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, pekerja di Malaysia hanya menerima 25% daripada KDNK per kapita negara, sedangkan rakan mereka di Indonesia dan Filipina masing-masing menerima sebanyak 84% dan 76%. Walaupun angka ini dibuat berdasarkan kepada gaji minimum terdahulu, yakni sebelum ia ditetapkan pada RM1500 mulai tahun ini, namun situasi ini masih lagi tidak banyak berubah. Malah menurut MTEM, gaji minimum sekarang sebenarnya masih lagi rendah. Ini kerana jika faktor-faktor garis kemiskinan, produktiviti dan elemen indeks harga pengguna (IHP) diambil kira dalam pengiraannya, gaji minimum di Malaysia sepatutnya berada pada RM1,832.

Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi berkata, seharusnya penetapan gaji minimum di Malaysia perlu berada di atas PGK atau pada satu tahap yang membolehkan pekerja di Malaysia menjalani satu kehidupan yang selesa. Dari sudut yang berbeza, gaji minimum RM1500 mahupun RM1832, masih lagi rendah jika dibandingkan dengan pendapatan garis kemiskinan (PGK) yang ditetapkan kerajaan ketika ini iaitu RM2,208. Malah jika PGK ini dijadikan asas, ia juga dilihat masih rendah kerana pihak KWSP sendiri baru-baru ini mengeluarkan satu kenyataan bahawa untuk bersara dengan selesa di Lembah Klang seorang pencarum bujang memerlukan RM2,500 sebulan daripada simpanan persaraan untuk keperluan hariannya.

Memandangkan Malaysia sekarang sudah dikategorikan oleh pihak Bank Dunia sebagai sebuah negara menua (negara yang mempunyai lebih 7% penduduknya berusia 65 tahun dan ke atas) dan kadar penuaan penduduk di negara ini dikatakan lebih pantas daripada yang dialami negara maju seperti Perancis, Australia dan Amerika Syarikat, isu gaji rendah yang diterima pekerja Malaysia ini perlu ditangani dengan segera oleh pihak berwajib. Penyelesaian yang tuntas untuk masalah ini bukan sahaja dapat membantu rakyat mempunyai simpanan yang mencukupi untuk hari tua mereka, bahkan ia juga dapat membantu negara keluar daripada perangkap status negara berpendapatan sederhana, status yang dipegang sejak 1992 kepada negara berpendapatan tinggi sebelum 2028.

#PrezCom