Kuala Lumpur, 28 September 2023, 15:52 – HAKIM memutuskan kemenangan Che Alias Hamid pada PRU-15 lalu terbatal kerana berlaku membeli undi. Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis berkata pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU-15. Mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar RM30,000 kepada pempestiyen. Di sebalik kemenangan bergaya PN yang meraih majoriti 27,179 undi itu, Hakim Anselm Charles Fernandis menerima dakwaan pempetisyen berhubung sogokan semasa tempoh berkempen untuk meraih undi bagi calon gabungan itu, Che Alias Hamid. Pencabar daripada BN ketika itu digalas bekas menteri besar, Ahmad Said.
Memetik kenyataan Hakim Anselm Charles Fernandis “Saya mendapati rasuah dilakukan atas pengetahuan responden. Saya mengisytiharkan keputusan pilihan raya umum Kemaman yang diadakan pada 19 Nov (tahun lepas) adalah terbatal. Wang yang diberi adalah untuk mendorong undi. Jika ini inisiatif kerajaan negeri, saya menganggap selepas pilihan raya ia masih boleh berlaku, tetapi ia dibuat beberapa hari sebelum pilihan raya umum. Semua ahli politik harus tahu kesannya. Tidak dinafikan kerajaan negeri masih wujud pada masa itu (kerana PRU dan Pilihan Raya Negeri diadakan secara berasingan) tetapi itu tidak bermakna program seperti itu (agihan dana) perlu diadakan begitu hampir dengan tarikh PRU,” katanya dengan tegas.
Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis berkata lagi program tersebut perlu diadakan selepas atau sebelum tempoh kempen bagi mengelakkan unsur dorongan. Program rasmi yang dikatakan dianjurkan kerajaan negeri Terengganu itu termasuk Bantuan i-Belia, i-Siswa dan sumbangan kepada orang kurang upaya serta asnaf.
Peguam mewakili Che Alias, Wan Rohimi Wan Daud, memaklumkan sekiranya anak guam beliau ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan, hakim memberi tempoh sehingga 3 Oktober untuk memohon menggantung perintah hari ini. “Hakim akan melewatkan pemakluman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selewatnya 3 Oktober ini tentang keputusan beliau pada hari ini. Jika sehingga 3 Oktober tiada permohonan untuk tangguh keputusan atau tiada rayuan (terhadap keputusan mahkamah hari ini), hakim akan maklum keputusan hari ini kepada SPR pada 3 Okt ini,” katanya lagi. Sementara itu, Wan Rohimi berkata pihaknya akan berbincang dengan pengurusan parti berhubung tindakan yang akan diambil, sama ada akan mengemukakan rayuan atau sebaliknya.
Pada PRU-15 November 2022, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi. Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab. Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi.
#PrezCom