Kuala Lumpur, 27 September 2023, 08:50 – Seorang wanita ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai telah memberi rasuah berupa sebuah kereta mewah bagi mendapatkan projek pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan sebuah kementerian bernilai RM87 juta.
Suspek yang berusia 30-an itu, adalah pemilik syarikat penyelenggaraan dan pembersihan telah ditahan pada jam 6.50 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. Suapan berupa sebuah kereta mewah itu dianggarkan bernilai RM200,000 diberi kepada Pegawai Kanan Kementerian terbabit pada tahun ini bagi mendapatkan projek pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan bagi tempoh lima tahun yang diluluskan pada 2021.
Perintah reman selama empat hari telah dikeluarkan oleh Majistret Aima Nabila Muhammad Azhar selepas SPRM membuat permohonan dan perintah reman itu akan bermula hari ini sehingga 29 September nanti. Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694):
1. Meminta/Menerima rasuah [Seksyen 16 & 17(a) Akta SPRM 2009]
2. Menawar/Memberi suapan [Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009]
3. Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 Akta SPRM 2009]
4. Menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam [Seksyen 23 Akta SPRM 2009]
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pernah berkata, kesemua individu yang dikaitkan dengan skandal rasuah tidak akan terlepas daripada siasatan malah perkara itu pernah diumumkan pihaknya di Dewan Rakyat. Tiada siapa yang akan terlepas. Di dalam apa juga kes, sekiranya dipanggil bermakna kes sudah berjalan.
#PrezCom