Kuala Lumpur, 27 September 2023, 12:02 – Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap kejadian pekerja mengenakan caj sos cili peket kepada pelanggan yang tular baru-baru ini di laman Facebook dan akan meneliti semula laporan tersebut. Datuk Azmir berkata, pihak McDonald’s akan mendengar daripada kedua-dua belah pihak iaitu pekerja dan juga pelanggan yang mendakwa dikenakan caj itu. Sebelum ini, tular di Facebook, McDonald’s mengenakan caj RM10.60 untuk 10 peket sos cili di sebuah restorannya di Ayer Keroh, Melaka.
Menurut Azmir, McDonald’s tidak pernah mengenakan sebarang cas kecuali sekiranya ada tambahan permintaan kepada bahan perasa sos nuget. “Kita tidak jual sos cili, tetapi pelanggan berpada-padalah juga, takkanlah mereka minta sampai 20 sos cili peket, tetapi kadang-kadang kes ini berlaku,” kata beliau. “Buat masa ini, kami tidak mahu komen lanjut dan ia masih dalam proses siasatan,” katanya lagi ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Kali Ke-4 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam pada hari isnin.
Pada hari Selasa 26 September 2023, McDonald’s Malaysia membuat laporan polis berikutan pertikaian dengan seorang pelanggan mengenai sos cili yang dibekalkan bersama hidangannya. McDonald’s mendakwa, pelanggan berkenaan menjadi sangat marah dan agresif secara lisan terhadap kakitangannya yang secara tidak sengaja memberikan paket sos cili yang tidak mencukupi. Demi untuk menjaga keselamatan kakitangannya, McDonald’s terpaksa melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.
McDonald’s berasa amat kecewa dengan tindakan pelanggan tersebut yang bukan sahaja bertindak agresif terhadap kakitangannya malah telah menyebarkan perkara yang kurang tepat kepada umum. Pelanggan itu telah menyiarkan insiden tidak tepat mengenai kejadian yang berlaku pada 22 September di cawangan pandu lalu Taman Buaya di Melaka.
Pelanggan tersebut telah mengeluarkan beberapa patah perkataan di media sosial yang membayangkan bahawa dia terpaksa membeli peket sos cili tersebut. Di dalam catatan itu tertulis “Hidup makin keras! Nak minta sos lebih di McDonald’s pun kena cas dah. Selesai beli 10 peket sos cili RM10.60. Tahniah McDonald’s Ayer Keroh kerana mengambil langkah proaktif selaras kenaikan harga beras dunia,” tulis netizen itu dalam satu catatan yang telah tular dan dipetik oleh beberapa saluran berita.
Susulan daripada itu, McDonald’s telah melancarkan siasatan dalaman termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Apa yang berlaku adalah pelanggan menjadi marah kerana telah mendapat peket sos cili yang sedikit jumlahnya daripada kakitangan McDonald’s namun mereka terus menambah jumlahnya bagi memuaskan hati pelanggan itu. Tetapi walau bagaimanapun pelanggan tersebut tetap marah dan berkeras untuk membayar tambahan 10 peket lagi dan menggesa kakitangan syarikat itu untuk mengeluarkan resit untuk pembelian itu. “Walaupun kakitangan McDonald’s cuba menjelaskan bahawa sos cili disediakan secara percuma, pelanggan itu dengan marah berkeras untuk dikenakan bayaran untuk 10 peket itu,” kata Datuk Azmir lagi. Selepas daripada kejadian tersebut Datuk Azmir telah memberi jaminan bahawa ia menawarkan sos cili kepada semua pelanggannya tanpa kos tambahan.
#PrezCom