Kuala Lumpur, 26 September 2023, 20:10 – Dua orang lelaki berusia 35 dan 39 tahun telah direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes minta dan menerima rasuah dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM11,000 sebagai balasan bagi menguruskan mayat orang bukan Islam di sebuah hospital di Negeri Sembilan. Perintah reman bagi kedua-dua lelaki tersebut dikeluarkan oleh Majistret, Syed Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret Seremban hari ini. Permohonan dibuat oleh Pegawai Pendakwa, Zainab Yahya manakala kedua-duanya yang direman itu telah diwakili peguam, M.Parameswary daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Menurut sumber, pada 25 September 2023, Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 4 orang kakitangan perubatan awam kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah sebanyak kira-kira RM100 hingga RM600 dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM11,000. Walau bagaimanapun, seorang wanita dan dua lagi suspek lelaki telah dilepaskan dengan jaminan RM10,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin atas faktor kesihatan selepas keterangan mereka direkodkan. Ketiga-tiga mereka berusia antara 30-an hingga 50-an dipercayai ditahan antara kira-kira jam 4 petang hingga 7 malam semalam di pejabat SPRM Negeri Sembilan ketika diminta hadir memberi keterangan.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra bin Awg Ismail mengesahkan tangkapan ketiga-tiga suspek tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. Suspek yang ditahan bertugas di hospital yang sama dipercayai menerima wang rasuah daripada 2 buah syarikat yang melibatkan kira-kira 42 transaksi bank di antara tahun 2022 dan hingga 2023. Kesemua transaksi bank tersebut dipercayai sebagai balasan kepada kerja-kerja pengurusan mayat.

#PrezCom