Kuala Lumpur, 26 September 2023, 8.17 malam – Kuala Lumpur, 26 September 2023, 20:10 – Persidangan Dewan Rakyat sering kali dilihat sebagai tempat perbalahan Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat setiap kali selepas pilihan raya. Sikap Ahli Parlimen yang gemar membuat provokasi dan kadang-kadang menghina pihak lawan dengan berbagai perkataan yang jelek serta membahas perkara yang tidak penting serta mengata pihak lawan adalah di antara punca tercetusnya perbalahan mulut berlaku. Tidak kira parti politik mana yang menjadi pemerintah, perkara yang sama tetap berulang. Dimanakah letaknya moral ahli-ahli Parlimen ini? Itulah yang menjadi tanda tanya dan buah mulut kepada netizen selama ini.

Di sebelah kerajaan dan di sebelah pihak pembangkang, sikap mereka tetap sama mungkin kerana tidak tahan dengan provokasi dari pihak lawan masing-masing. Ahli Parlimen yang tua mahu pun yang muda, kedua-duanya bertindak serupa tanpa ada segan silu terhadap para pemerhati yang sentiasa berada didalam parlimen untuk mendapatkan maklumat terkini dan sahih dari dewan yang mulia itu.

Ahli-ahli Parlimen sepatutnya faham dan tidak melakukan perkara yang membolehkan mereka dianggap seperti sikap ‘haiwan’ ketika berbahas kerana di mana sahaja rakyat dapat melihat dan mendengar. Dewan Rakyat bukan lagi sebagai tempat untuk berbincang dan memberi pandangan, tetapi telah menjadi tempat peperangan mulut yang ganas dan dan tidak beretika. Adakalanya perbahasan bukan lagi menggunakan tutur kata yang baik tetapi menghamburkannya untuk melepaslan sakit hati kepada pihak lawan masing-masing.

Dunia sudah berbeza dan berubah, hanya buka gajet masing-masing tidak kira di mana rakyat boleh memerhati mereka berdebat. Tidak hairan apabila ketika Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Sesi Parlimen ke-15 baru-baru ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor berkongsi pertanyaan oleh orang ramai ketika beliau berkunjung ke satu kedai makan. Datuk Ramli Mohd. Nor amat terkejut apabila orang ramai yang ditemui memberikan persepsi Dewan Rakyat sebagai tempat bergaduh dan bukannya untuk menyelesaikan isu rakyat.

“Selain pada itu saya ingin ingatkan adab dalam dewan. Semalam, saya pergi ke kedai dan mereka mengenali saya. “Macam mana zoo? Saya terkejut, inilah implikasi masyarakat di luar sana. Jadi, saya berharap (semua ahli Parlimen) berpeganglah kepada etika,” katanya. “Saya berharap tidak ada perjalanan mesyuarat kecil di dewan. Ketika seorang Yang Berhormat bercakap ada pula mesyuarat kecil di sebelah kanan dan kiri,” tegasnya lagi.

Saban tahun keadaan tersebut masih berlaku. Walaupun sudah ‘diperli kasar’ oleh rakyat, namun sikap Ahli Parlimen dilihat masih tidak berubah apabila ketika persidangan Dewan Rakyat yang membahaskan berkenaan usul Penggulungan Kementerian bagi Belanjawan 2023 Rabu lalu, perkara sama masih berlaku.

Pengalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, perbahasan sesuatu yang sangat serius kerana isu yang dibawa itu adalah mewakili suara rakyat. Adalah menjadi keperluan untuk seseorang Ahli Parlimen itu berhujah mengikut fakta supaya nampak lebih intelektual. Selain berbahas mengikut fakta, Ahmad Fauzi juga berharap supaya Ahli Parlimen dapat mengurangkan gurauan atau lawak jenaka dan lebih serius ketika berbahas.

Sudah-sudahlah bergaduh, pilihan raya sudah berakhir dan kerajaan telah ditubuh. Ambil cara negara-negara maju lain, tidak kira parti mana menjadi kerajaan, parti pembangkang akan membantu di belakang mereka. Berbalah tetap ada, tetapi di hadapan rakyat terutamanya di Parlimen yang dianggap sebagai ‘dewan suci’ tidak perlu berlaku, janganlah sehingga rakyat melabelkan Parlimen sebagai ‘zoo’. Kata Ahmad Fauzi dengan tegas.

#PrezCom