Kuala Lumpur, 25 September 2023, 18:17 – Kemeriahan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 sedikit terjejas dengan kemalangan membabitkan van yang membawa pasukan ketika di peringkat ketiga dari Jeli ke Baling. Perkara ini disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, Emir Abdul Jalal. “Ya saya boleh sahkan ada kemalangan membabitkan van yang membawa pasukan Giant Cycling Team. Saya juga boleh maklumkan setakat ini, tiada pelumba yang mengalami kecederaan serius,” katanya. Tambahnya, van berkenaan membawa tiga pelumba Giant Cycling Team iaitu Lin Chuan Yang, Wang Zichen dan Huang Jun Lei, ketika kemalangan itu berlaku.
Pasukan yang berpangkalan di China itu hanya menghantar empat pelumba bagi kempen kali ini dengan seorang lagi wakilnya adalah Deng Penghai. Insiden yang berlaku ketika hujan renyai itu menyaksikan van tersebut hilang kawalan lalu terbabas ketika melalui zon neutral perlumbaan di Jeli, Kelantan. Ujarnya, ketiga-tiga pelumba berkenaan sebenarnya tidak dapat berlumba hari ini kerana dibatalkan penyertaaan selepas tiba lewat di pelepasan yang terletak di Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Disebabkan itu ketiga-tiganya terpaksa menaiki van pasukan untuk menuju ke lokasi penamat yang terletak di Baling, Kedah.