Kuala Lumpur, 25 September 2023, 3.18 petang – Muhammad Izzatul Shafik Mozahari, 29 tahun, pemandu treler yang menyebabkan kematian 2 penunggang motosikal di Kilometer 5.8 Persiaran Utara, pukul 10.14 pagi, 20 September lalu. Kemalangan yang membabitkan 14 kenderaan itu telah meragut nyawa Faris Haziq Abu Bakar, 25 tahun dan Yuswar Mohd. Uyus, 39 tahun.
Di Mahkamah Majistret di sini hari ini, Muhammad Izzatul Shafik Mozahari mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga mengorbankan dua nyawa. Muhammad Izzatul Shafik Mozahari, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aima Nabila Muhammad Azhar. Mengikut pertuduhan, Muhammad Izzatul yang ketika itu sebagai pemandu treler jenis Foton Auman didakwa memandu secara merbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Amalina Abu Hanifah mencadangkan Muhammad Izzatul diberi ikat jamin sebanyak RM10,000. Memandangkan Muhammad Izzatul tidak diwakili oleh peguam maka Timbalan Pendakwa Raya tersebut meminta kepada Mahkamah untuk mengurangkan kadar denda tersebut. Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Aima Nabila membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Muhammad Izzatul turut diarah melapor diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan manakala lesen memandunya digantung sehingga kes dilupuskan. Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Nahas berlaku semasa Muhammad Izzatul memandu lori yang membawa muatan pasir dan batu dari arah Kajang menghala ke Puchong telah hilang kawalan dan melanggar beberapa buah kenderaan sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan. Ia membabitkan 14 buah kenderaan termasuk lima motosikal dan sebuah motosikal pengiring polis, tujuh buah kereta dan dua buah lori.
Selain itu, sebuah motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenis Yamaha FJR 1300 yang sedang membuat penutupan jalan semasa program Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Le Tour De Langkawi 2023 (LTdL) turut terlibat dalam nahas sama. Sebutan kes seterusnya ditetapkan pada 25 Oktober ini.
#PrezCom