Kuala Lumpur, 25 September 2023, 15:21 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia sentiasa menjalin dan mengekalkan hubungan yang kukuh dengan dua kuasa besar iaitu China dan Amerika Syarikat tanpa memihak kepada mana-mana negara. Menurut Anwar, Malaysia telah lama menjadi sahabat baik dan rakan dagangan kepada kedua-dua kuasa besar tersebut dan beliau percaya kedua-dua negara itu amat mengetahui tentang kemampuan Malaysia di dalam berbagai bidang.

Walaupun China dan Amerika Syarikat tidak mempunyai hubungan yang baik, namun Malaysia tidak akan menghadapi sebarang masalah malah akan mendapat manfaat daripada situasi tersebut apabila menggunakan pendekatan berbaik-baik dengan kedua-dua pihak. Malaysia tidak akan berada di dalam keadaan dilema mahupun berasa serba salah untuk menarik kedua-dua kuasa tersebut untuk melabur di Malaysia. Bukan itu sahaja malah ia mampu menarik negara-negara luar untuk melabur di negara kita kerana kita tidak mempunyai musuh dengan mana-mana pihak.

Dalam satu wawancara bersama Fortune, media antarabangsa yang ternama, Anwar berkata, setakat ini tiada masalah yang timbul kerana Malaysia sentiasa berkomunikasi dan mengekalkan hubungan baik dan China merupakan pemain utama daripada segi pelaburan. Mengenai Amerika Syarikat pula, mereka telah berdekad lamanya menjalinkan hubungan persahabatan dengan Malaysia dan mereka tahu akan prestasi Malaysia daripada aspek pelaburan. Maksud Anwar itu, beberapa pemain utama yang terbesar telah berada di Malaysia sejak dari masa lalu seperti Motorala dan Intel. Mereka juga tahu akan kapasiti Malaysia.

Di dalam wawancara bersama majalah Fortune untuk edisi Oktober dan November, Anwar juga menerangkan kepada media asing itu bahawa kedua-dua kejiranan Malaysia itu amat penting dan ia bukanlah satu permainan yang ada kalah dan menang. Pada pandangan beliau lagi, dari situasi yang berlaku, Malaysia harus menggunakan peluang ini sebagai satu kelebihan. Bukan untuk menjadi sebagai broker di antara China dan Amerika Syarikat tetapi sebagai pendekatan dan keutamaan.

Untuk rekod, negara memperoleh manfaat daripada pelaburan besar daripada syarikat Amerika Syarikat seperti Tesla, Amazon Web Services, Boeing dan Intel yang semuanya berkembang secara besar-besaran di Malaysia. Manakala lawatan sulung Anwar ke China pada Mac lalu pula menyaksikan Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi berjumlah RM170 bilion daripada ekonomi kedua terbesar dunia itu.

#PrezCom