Kuala Lumpur, 24 September 2023, 8.13 malam – Di PERAK, Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan memaklumkan hanya sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka dengan bilangan mangsa banjir meningkat pada jam 6 petang tadi. Menurutnya, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak di daerah Kerian menempatkan 35 mangsa banjir daripada lapan keluarga yang terjejas dari Kampung Matang Tengah, meningkat berbanding 33 mangsa banjir (tujuh keluarga) pada jam 12 tengah hari tadi.

Tiga PPS lain membabitkan SK Sungai Jernih, Selama; Balai Raya Kampung Klah, Sungkai; serta Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Halt, Taiping, yang dibuka sebelum ini bagaimanapun sudah ditutup sepenuhnya, semalam, dan semua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan hanya satu lorong di FT077 Jalan Pengkalan Hulu-Sempadan Thailand di Hulu Perak dibuka untuk semua kenderaan, susulan runtuhan dan pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) di kawasan berkenaan. Jalan A 156 Jalan Karai-Jawang Trosor di Kuala Kangsar pula masih ditutup kepada semua kenderaan buat masa ini akibat tanah runtuh di kawasan itu.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir di Beaufort meningkat kepada 228 mangsa daripada 72 keluarga setakat pukul 8 malam ini berbanding 102 mangsa daripada 36 keluarga tengah hari tadi. Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Selagon yang dibuka sejak pukul 4 petang semalam susulan banjir berikutan hujan lebat berterusan.

“Kesemua mangsa dari lima kampung di Beaufort yang terjejas akibat banjir akan terus dipantau. Bantuan masih diteruskan di lokasi hotspot di daerah berkenaan. Sementara itu di Sarawak, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua PPS di Limbang kekal 33 orang (tujuh keluarga), setakat jam 7 malam tadi.

#PrezCom