Kuala Lumpur, 23 September 2023, 4.30 petang – SEORANG penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), ADAM Ariff Mohd Roslan, 29, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa akaun bank peribadi milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima RM60,629,839.43 daripada Putera Faisal Bin Turkey Bin Bandar Alsaud melalui dua transaksi pada 23 Februari 2011 dan 13 Jun tahun yang sama. Beliau yang menjalankan analisis jejak wang akaun Najib, berkata nombor akaun bank pelanggan iaitu Putera Faisal adalah sama dengan nombor akaun Bank Riyad yang menerima dana daripada Good Star Ltd iaitu syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low. Katanya lagi, akaun Bank Riyad itu memindahkan dana ke akaun Najib dalam tempoh satu hingga tiga hari selepas Good Star memindahkan dana ke akaunnya.
Saksi pendakwaan ke-47 itu berkata demikian ketika mengesahkan laporan jejak wang pada perbicaraan Najib membabitkan dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana One Malaysia Development Berhad (1MDB). Adam Ariff berkata demikian ketika memberikan keterangan terhadap Najib, 70, yang berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Sementara itu, beliau berkata lagi Jho Low melalui Good Star menerima keseluruhan dana berjumlah AS$810 juta daripada 1MDB dalam tempoh tiga tahun iaitu daripada 2009 hingga 2011. Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati penyata bank akaun Good Star termasuk akaun semasanya mengesahkan penerimaan dana daripada 1MDB dan Tarek Obaid (pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi International Ldt (PSI). Saksi itu juga mengesahkan, sebelum menerima dana AS$700 juta daripada 1MDB, baki akaun dalam Good Star adalah sifar. Daripada 30 September 2009 hingga 27 Mei 2011, satu-satunya pihak yang memindahkan dana ke dalam akaun syarikat itu adalah 1MDB.
Dalam keterangan sebelum ini, Adam Ariff berkata, Jho Low, membuka akaun bank Switzerland untuk syarikatnya, Good Star Limited, tiga bulan sebelum akaun luar pesisir itu menerima dana 1MDB berjumlah AS$700 juta. Beliau berkata, akaun berkenaan dibuka oleh Jho Low pada 11 Jun 2009, manakala dana terbabit diterima pada 30 September tahun sama. Pendakwaan dalam kes terbabit mendakwa AS$700 juta daripada AS$1 bilion dana 1MDB adalah untuk usaha sama dengan PSI, dipindahkan kepada Good Star yang dikatakan sebagai anak syarikat PSI.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.
#PrezCom