Kuala Lumpur, 23 September 2023, 6.53 petang –SELEPAS isu kekurangan minyak masak peket dan beras tempatan di pasaran, kini timbul pula cerita akan berlakunya krisis kekurangan gula dipasaran tempatan. Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, harga barangan asas dipasaran antarabangsa sudah mulai naik. Ini bermaksud harga gula juga dijangkakan naik memandangkan gula mempunyai harga kawalan iaitu 1 kilogram (kg) RM2.85. “harga gula antarabangsa sekarang dah naik antara RM3.60 hingga RM3.80 untuk 1 kg (bagi beg 50 kg). Logiknya, kalau harga beza, akan berlaku ketirisan.” “Sekarang pun sudah ada pasar raya yang meletakkan had pembelian lima peket saja. Maknanya, apabila sudah ada had, ada masalah,” katanya kepada Harian Metro.
Datuk Ameer Ali Mydin menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan segera sebelum masalah gula dan barangan asas yang lain turut mengalami kenaikan harga. Datuk Ameer juga mengingatkan kerajaan bahawa perlunya membuat sesuatu yang baik secepat mungkin. Tiada guna menjual gula atau apa-apa barangan asas dengan murah tetapi ada berlaku ketirisan. Kata Datuk Ameer lagi.
Pada 27 Ogos 2023, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian berkaitan bagi mencari penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi masalah bekalan gula negara. Perbincangan tersebut melihabatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi tujuan berkenaan. Isu berkaitan gula memerlukan penyelesaian jangka panjang yang membabitkan beberapa kementerian dan kita sedang berbincang mengenainya.
Kini, KPDN giat menjalankan Ops Manis bagi memastikan pengilang dan pemborong menjalankan tanggungjawab mereka membekalkan gula putih bertapis. Ops Manis ini adalah penting untuk dijalankan bagi memastikan pengilang bertanggungjawab membekalkan gula bertapis putih kasar dan halus sebanyak 42,000 tan sebulan. KPDN akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang meletakkan syarat, kononnya perlu melakukan pembelian satu kilogram gula putih jernih (premium) terlebih dulu jika mahu membeli gula pasir kasar.
Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang mengenakan syarat berkenaan tanpa kebenaran pengawal bekalan dan kes disiasat mengikut Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961. Syarat itu tidak boleh diletakkan dan jika terdapat kes, boleh dilaporkan kepada KPDN untuk tindakan bersesuaian serta-merta.
#PrezCom