Kuala Lumpur, 23 September 2023, 8.15 pagi-PERHIMPUNAN Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-87 di New York yang dihadiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar pentas untuk beliau menyuarakan pandangan mengenai pelbagai isu global , malah turut menjadi medan beliau menyatakan pandangan dan ketegasan Malaysia mengenai isu kepentingan sejagat dan mengingatkan tentang peranan yang perlu dimainkan oleh masyarakat antarabangsa dalam mengatasi pelbagai cabaran bersama.
Penampilan sulung Anwar turut membuka ruang untuk bertemu dengan ramai pelabur, pengurus dana dan pasaran modal dalam beberapa acara sampingan ketika tiga hari berada di New York. Selain meningkatkan hubungan dua hala menerusi pertemuan dengan pemimpin asing, Perdana Menteri juga turut berkongsi bagaimana usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim dan mengambil tindakan ke arah mencapai Tindakan Agenda 2030 dan matlamat pembangunan mampan (SDG) ke arah keamanan, kemakmuran, kemajuan dan kemampanan untuk semua.
Sementara itu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) merancang beberapa acara untuk Perdana Menteri bertemu ketua industri dan perniagaan. Beliau juga akan mengadakan sesi soal jawab bersama Forum Invest Malaysia anjuran Bursa Malaysia dan hadir dalam perbincangan meja bulat bersama Fortune 500 Companies bersama MITI.
Perdana Menteri dijangkakan akan bertemu usahawan dan pelabur baharu yang berpotensi dari Amerika Syarikat (AS) seperti Boeing, Kimberly Clark, Phillip Morris International dan Procter & Gamble (P&G) dan juga akan memberi pencerahan mengenai misi dan visi ekonomi Madani kepada pelabur asing.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika diminta mengulas kehadiran sulung Perdana Menteri berkata, Malaysia terus menarik pelaburan besar berikutan kestabilan politik semasa, selain ekosistem rantaian bekalan yang tepat serta peranan yang dimainkan oleh Anwar sendiri. Pengaruh Anwar dan kerja keras beliau terserlah seperti ketika Sidang Kemuncak ASEAN di Jakarta dan jadual ketat beliau yang memenatkan namun selepas menghadiri Hari Malaysia di Kuching Sarawak Anwar terus ke Nanning China untuk menemui rakan sejawat Li Qiang, kali ketiga antara mereka untuk tahun ini.
“Anwar adalah Top Salesman (Jurujual Terbaik) Malaysia dan beliau ‘memudahkan’ kerja saya,” katanya sambil tersenyum ketika sidang media bersama wartawan Malaysia, sehari sebelum ketibaan Anwar di New York.
#PrezCom